Gambar Hiasan

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki tempatan yang pada mulanya hanya mahu melihat iklan pelaburan saham dalam aplikasi TikTok, namun akhirnya terjerat selepas ‘terpikat’ dengan tawaran diberikan selepas berurusan dengan individu bernama Alicia Goh.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, ‘perkenalan’ tersebut berubah menjadi mimpi ngeri apabila diperdaya RM539,647 selepas melakukan pelaburan.

Menurut beliau, semuanya bermula pada Oktober 2023 selepas mangsa, seorang lelaki berusia 49 tahun melayari satu iklan pelaburan saham dalam satu aplikasi TikTok.

“Seterusnya mangsa berurusan dengan individu bernama Alicia Goh. Individu tersebut telah menawarkan pelaburan saham kepada mangsa dan memasukkanya ke dalam satu kumpulan WhatsApp dinamakan sebagai 108 Winning Investment Circle.

“Mangsa kemudian memuat turun satu aplikasi untuk melihat keuntungan pelaburan di mana jumlah yang terpapar adalah sebanyak USD1,117,217,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa yang tertarik dengan keuntungan dijanjikan telah melakukan sebanyak 10 transaksi ke dalam lima akaun berbeza diberikan suspek.

Semua transaksi tersebut dilakukan bermula 8 November 2024 sehingga 3 Januari lalu dengan jumlah keseluruhan modal sebanyak RM539,647.

Balveer Singh memberitahu, mangsa menyedari ditipu apabila diminta membuat bayaran tambahan semasa cuba mengeluarkan keuntungan yang dijanjikan.

“Jumlah kerugian dialami mangsa RM539,647 sebelum membuat laporan polis semalam mendakwa ditipu pelaburan saham tersebut,” ujarnya.

Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu, jika sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun dan boleh disebat atau didenda.

Tegas beliau, siasatan juga akan meliputi penglibatan kedai akaun jika ada dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun terlibat.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar lebih cakna dengan trend semasa jenayah kormersil bagi mengelak diri menjadi mangsa penipuan.

“Masyarakat juga dinasihatkan agar tidak mudah percaya sebarang tawaran pelaburan atau pekerjaan dalam talian yang menjanjikan kaedah yang mudah serta komisen yang tinggi,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here