KUALA LUMPUR – Sebanyak 85% rakyat Malaysia bakal menghadapi krisis legasi tanpa perancangan pengagihan pusaka kewangan.
Ia merupakan kesimpulan daripada tinjau selidik Sun Life Malaysia iaitu “Insure or Unsure: Sun Life Insurance Literacy Survey” yang mengkaji tahap pengetahuan dan tingkah laku rakyat Malaysia terhadap celik insurans dan perancangan legasi.
Tinjau selidik ini melibatkan 1,040 rakyat Malaysia yang meliputi pelbagai kumpulan pendapatan dan kawasan geografi.
Sun Life Malaysia berkata, tinjau selidik tersebut mendedahkan tahap yang membimbangkan: walaupun 65% rakyat Malaysia mengakui kepentingan perancangan legasi, hanya 15% telah mengambil langkah bermakna untuk melindungi masa depan kewangan keluarga mereka.
Perancang yang proaktif lazimnya menggunakan alat seperti insurans/takaful (71%), dana amanah (53%), dan wasiat (44%), namun majoriti masih belum bersedia, menyebabkan keluarga mereka terdedah kepada kemungkinan ketidakstabilan kewangan, potensi pertikaian, dan ketiadaan pemindahan kekayaan antara generasi.
Presiden/Ketua Negara Sun Life Malaysia, Raymond Lew berkata, hasil tinjauan ini menunjukkan satu fenomena yang membimbangkan kerana majoriti keluarga belum bersedia, menimbulkan risiko ketidaktentuan kewangan kepada orang tersayang.
“Bagaimanapun dengan pendekatan bersepadu kita boleh mengubah trend ini dan menjamin masa depan yang lebih cerah untuk keluarga di Malaysia,” katanya.
Tinjauan itu turut mendedahkan, dalam kalangan 65% yang menyedari keperluan untuk perancangan legasi, 60% sudah berkahwin, 34% masih bujang, dan 6% sudah bercerai, balu atau berpisah.
Ini menunjukkan individu sudah berkahwin yang mempunyai anak paling sedar akan keperluan untuk melindungi kewangan keluarga mereka.
Hasil tinjau selidik itu menekankan budaya dan kepercayaan agama memainkan peranan penting membentuk amalan perancangan legasi, terutamanya dalam kalangan responden Melayu yang cenderung memilih alat pengagihan harta Islam seperti Hibah (hadiah) dan Wasiat Islam, yang patuh Syariah.
Amalan ini menggariskan kepentingan bimbingan yang disesuaikan dengan faktor budaya untuk memenuhi pelbagai keperluan keluarga-keluarga Malaysia.
Satu faktor yang menggalakkan ialah 54% daripada mereka yang telah memulakan perancangan legasi mendapatkan nasihat profesional, menunjukkan kepercayaan yang semakin tinggi terhadap pakar untuk menangani kerumitan perancangan pusaka.
Bagaimanapun, bagi keluarga yang belum membuat perancangan yang jelas, tidak menerima bimbingan profesional atau alat yang sesuai dengan budaya mereka, akan meningkatkan kemungkinan berlaku pertikaian, terutamanya dalam struktur keluarga Malaysia yang pelbagai.
Tinjau selidik itu mendedahkan kekangan kewangan (41%) menjadi faktor-faktor yang menjadi halangan utama rakyat Malaysia melaksanakan perancangan legasi.
Keluarga berpendapatan rendah menghadapi halangan terbesar, dengan 68% yang belum merancang mempunyai berpendapatan di bawah RM5,249/bulan.
Selain itu kekurangan ilmu (39%), yang mana ramai rakyat Malaysia masih tidak pasti cara untuk bermula, menunjukkan kekurangan sumber dan bimbingan yang boleh didapati.
Malah, matlamat kewangan bercanggah (35%) juga menjadi faktor penghalang apabila keperluan segera sering menjejaskan perancangan jangka panjang, terutamanya dalam kalangan orang bujang dan suami isteri tanpa anak.
Penemuan juga memperlihatkan jurang kekayaan yang semakin bertambah dalam perancangan legasi apabila dalam kalangan pendapatan tinggi dengan pendapatan isi rumah lebih daripada RM5,000 sebulan, 72% menganggap perancangan legasi sebagai kritikal.
Sebaliknya, hanya 45% daripada mereka yang berpendapatan rendah dengan pendapatan isi rumah bulanan kurang daripada RM2,000 menganggap perancangan legasi sebagai penting.
Selain itu, dalam kalangan 11% responden belum mengambil sebarang langkah ke arah perancangan legasi, 68% tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah dan langsung tidak mengendahkan topik tersebut, mewujudkan hakikatnya menjadi bom berdetik yang menunggu masa untuk meletup dan meluaskan jurang kekayaan.
Ketiadaan perancangan legasi meningkatkan lagi risiko pertikaian dalam kalangan waris, dan 48% rakyat Malaysia menyatakan usaha mengurangkan pertikaian sebagai satu keutamaan.
Keluarga paduan dan berbilang budaya menjadi suri teladan, dengan 82% memainkan peranan aktif membincangkan rancangan mereka berbanding dengan keluarga asas yang kurang proaktif.
“Kita sering melihat bagaimana ketiadaan perancangan kewangan yang sewajarnya membawa kepada bukan sahaja masalah kewangan tetapi juga hubungan yang tegang dalam kalangan ahli keluarga yang ditinggalkan.
“Situasi ini menekankan keperluan kritikal untuk mengutamakan pengurusan kekayaan keluarga sejak dari awal lagi dalam usaha melindungi kedudukan kewangan dan keharmonian keluarga,” ujar Raymond Lew. – MalaysiaGazette