JOHOR BAHRU – Seorang wanita yang bekerja sebagai penghantar barang ditahan polis bagi membantu siasatan kes penderaan terhadap anak lelakinya berusia enam tahun.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan polis pada 17 Mac lalu daripada seorang guru pra sekolah Sekolah Kebangsaan Taman Johor Jaya 3.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
“Ibu mangsa berusia 31 tahun yang juga suspek kes ini sudah ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkata, mangsa sudah diselamatkan oleh pihaknya.
“Pelindung JKM menjalankan siasatan ke rumah mangsa dan tindakan sesuai sudah diambil.
“Kanak-kanak berkenaan kini dalam keadaan selamat manakala dua adik beradiknya berada di bawah jagaan ibu saudara,” katanya ketika dihubungi.
Difahamkan mangsa tinggal bersama-sama ibu serta adik-beradiknya di sebuah rumah sewa di Taman Desa Jaya di sini.
Beberapa kesan kecederaan dan lebam pada tubuh mangsa termasuk di tangan serta di belakang tubuh disedari guru sekolah sebelum membuat laporan polis.- MalaysiaGazette