Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan sebarang tindakan seperti insiden seorang pemuda bukan Islam ditampar kerana makan pada bulan Ramadan perlu dihentikan serta-merta.

Ini kerana tegas Perdana Menteri, tindakan seperti itu serta yang seumpamanya bertentangan dengan semangat perpaduan dan keharmonian negara.

Menurut Anwar, tidak ada maknanya umat Islam berbicara soal Islam serta keindahannya terutama pada bulan Ramadan sekiranya ia tidak membina kekuatan dalaman dan menjauhkan diri daripada sikap yang bengis dan mengancam keamanan serta kerukunan.

“Perdana Menteri percaya isu yang menyentuh sensitiviti agama, kaum dan bangsa ini boleh dielakkan jika semua pihak patuh dan komited mengamalkan prinsip hormat menghormati antara satu sama lain bagi membina sebuah negara yang bertamadun,” kata Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah dalam sidang akhbar harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.

Sebelum ini, tular video di media sosial yang memaparkan seorang pemuda bukan Islam ditampar seorang warga emas kerana didakwa makan secara terbuka pada bulan Ramadan di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru.

Bagaimanapun, Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini melepas tanpa membebaskan (DNAA) warga emas berkenaan, Abdul Razak Ismail, 65, selepas dia mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A. Shaarmini.

Shaarmini membuat keputusan berkenaan selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd Nizam memaklumkan mendapat arahan untuk merujuk semula kertas siasatan kes berkenaan ke Jabatan Peguam Negara (AGC) di Putrajaya.

Abdul Razak didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang pemuda berusia 21 tahun di premis kedai serbaneka di sebuah pusat beli belah di Johor Bahru, kira-kira jam 3.45 petang pada 16 Mac lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun, atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here