KUALA LUMPUR- Orang ramai diminta tidak terpedaya dengan kewujudan akaun-akaun media sosial palsu yang menggunakan nama kerabat Diraja Pahang dan juga Kesultanan Pahang.

Facebook rasmi keluarga diraja Pahang, Kesultanan Pahang dalam hantarannya menjelaskan, Tengku Ampuan Pahang hanya memiliki akaun sosial yang aktif di Instagram namun bersifat peribadi manakala Tengku Mahkota Pahang hanya mempunyai akaun Instagram dengan nama ‘this.7’.

“Kebelakangan ini muncul banyak akaun Facebook palsu melibatkan nama Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.

“Sebarang aktiviti atau titah secara langsung hanya disiarkan melalui platform media sosial Kesultanan Pahang dan di Facebook hanya satu akaun sah Kesultanan Pahang dengan memiliki kira-kira 685,000 orang pengikut,” katanya.

Menurut hantaran itu lagi platform media sosial lain seperti instagram, TikTok, Youtube dan aplikasi X hanya menggunakan nama Kesultanan Pahang manakala portal rasmi Istana Pahang ialah http://istanapahang.my.

Tegasnya, Istana Pahang menafikan kewujudan sebarang akaun media sosial yang diwujudkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dan berharap agar tiada yang terpedaya dengan penyamaran yang cuba mengelirukan orang ramai. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast