PUTRAJAYA – Mesyuarat Kabinet yang berlangsung hari ini tidak membincangkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri kepada penjawat awam, kata Datuk Fahmi Fadzil.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu bagaimanapun berkata, kerajaan masih mempunyai masa sekiranya ingin memberikan bantuan khas itu kepada penjawat awam di negara ini.
“Ini (bantuan BKK) masih ada masa (untuk dibincangkan) tapi tidak dibincangkan. Hari ini kita belum nak beraya lagi,” katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Fahmi berkata demikian mengulas gesaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) agar kerajaan mempertimbangkan pemberian BKK kepada penjawat awam bagi meringankan beban mereka menyambut perayaan itu.
Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat sebelum ini berharapĀ kerajaan meneruskan tradisi pemberian bantuan itu yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lepas.
Pada sidang media sama, Fahmi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta agar sejumlah 200 buah sekolah dijadikan sekolah angkat bagi membantu membangunkan sekolah-sekolah di seluruh negara.
Jelasnya, setakat hari ini, Anwar mahu sejumlah 500 buah sekolah di seluruh negara disasarkan untuk dijadikan sekolah angkat oleh syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Perdana menteri telah memaklumkan bahawa 20 sekolah telah diambil sebagai sekolah angkat oleh TNB. Segala usaha ini akan diselaras oleh pihak kementerian pendidikan ataupun Kemen Pendidikan (KPM),” katanya dalam sidang media sama.
Tambah Fahmi, sekiranya mana-mana pihak yang ingin menggerakkan hasrat ini, ia perlu berhubung dengan KPM.
Minggu lalu, Perdana Menteri berkata, syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) disaran melaksanakan inisiatif ‘sekolah angkat’ bagi membantu membangunkan sekolah-sekolah di seluruh negara.
Jelas Anwar, bantuan daripada syarikat tersebut mampu menyelesaikan pelbagai masalah infrastruktur di institusi berkenaan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan telah meminta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri untuk menyelaras perkara berkenaan bersama KPM. – MalaysiaGazette