Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia Jodi Robinson berkata, usaha negara itu mempelbagaikan portfolio perdagangan itu juga bukan sesuatu yang baharu, khususnya dalam senario keperluan memacu pengembangan berkenaan seiring dengan strategi lebih besar berikutan tindakan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) yang diterajui Presiden Donald Trump menaikkan tarif.
Pada 2022, Kanada telah melancarkan Strategi Indo-Pasifik yang secara khusus memberi penekanan terhadap perdagangan dan pelaburan di pasaran sedang pesat membangun dengan menjadikan aspek pempelbagaian sebagai salah satu teras utamanya.
“Ini menyentuh tumpuan ke atas rantau ini yang juga antara paling kukuh, seperti yang anda sedia maklum, dari sudut pandang ekonomi di dunia, daya tahan rantaian bekalan dan boleh menyediakan (peluang) dagangan untuk syarikat-syarikat Kanada,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program bual bicara The Nation bertajuk “Canada’s Leadership Amid Global Challenge” di BERNAMA TV pada Selasa.
Menjelaskan selanjutnya, Robinson berkata, langkah mempergiatkan usaha itu juga merupakan pendekatan menyeluruh kerajaan Kanada dengan semua ketua misinya di seluruh dunia dengan menumpukan pasukan di peringkat suruhanjaya tinggi serta kedutaan bagi mengenal pasti peluang perdagangan dan pelaburan.
“Sebagai contoh, Kanada dan Malaysia boleh meningkatkan lagi usaha perdagangan dan pelaburan serta bidang keutamaan yang boleh diusahakan secara bersama. Apakah sinergi yang boleh kita ketengahkan bersama? Tidak ketinggalan, usaha untuk meningkatkan eksport Kanada ke Malaysia.
“Begitu juga pelaburan Malaysia ke Kanada dan sebaliknya. Bagi saya, masih ada ruang untuk diperluaskan dalam perkara itu,” katanya.
Robinson berkata, delegasi Wilayah Atlantik Kanada berada di Malaysia baru-baru ini bagi misi perdagangan dan pelaburan untuk melihat potensi kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi lautan serta keselamatan marin.
Atlantic Kanada atau lebih dikenali sebagai wilayah Atlantik merangkumi empat wilayah di timur Kanada iaitu New Brunswick, Newfoundland dan Labrador, Nova Scotia serta Pulau Prince Edward.
Beliau berkata, Kanada juga mempunyai kepakaran dalam penghasilan tenaga bersih seperti nuklear memandangkan 15 peratus tenaga negara itu bersumberkan seperti geoterma, biojisim serta hidrogen.
“Saya tahu Malaysia juga sedang meneliti bidang ini (hidrogen) sebagaimana dengan Kanada. Oleh itu, bagaimana kita dapat mengetengahkannya?
“Kanada amat menitikberatkan semua kepakaran dan bakatnya, malah memberi tumpuan usaha dalam bidang ini dari perspektif inovatif dan saya fikir kita boleh mewujudkan kerjasama itu,” katanya.
Bidang lain termasuk segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mana seperti Malaysia, Kanada juga mempunyai penyertaan PKS yang ketara.
Beliau berkata, dalam keperluan membantu PKS berkembang, mengeksport dan mencari pasaran baharu sendiri, pihaknya juga menyokong syarikat Kanada datang ke Malaysia dan berharap ada syarikat Malaysia yang akan turut ke Kanada.
Sehubungan itu, Robinson yang genap enam bulan bertugas di Malaysia, menyifatkan terdapat banyak ruang untuk berkembang dalam bidang perdagangan dan pelaburan.
“Saya berharap dapat melihat satu misi perdagangan ke Kanada dan bekerjasama dengan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Ottawa untuk mengenal pasti bidang yang berpotensi bagi tujuan kerjasama,” katanya.
Mengulas mengenai dasar perlindungan yang kian ketara ketika sistem perdagangan berasaskan peraturan terus dicabar, beliau menegaskan pendirian Kanada yang kekal sebagai penyokong tegar bagi sistem perdagangan berasaskan peraturan.
Menurutnya, ini sejajar dengan kedudukan negara itu yang bergantung kepada perdagangan dan eksport bagi pertumbuhan ekonomi serta keselamatannya.
“Kita perlukan peraturan dan negara-negara yang perlu mematuhinya. Oleh itu, kita telah meminta rundingan dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengenai pelaksanaan tarif oleh AS membabitkan segi aluminium dan keluli.
“Selain itu, kita juga akan terus berusaha sepertimana di bawah perjanjian perdagangan bebas Kanada, AS dan Mexico (CUSMA),” katanya.
Robinson juga menegaskan bahawa Ottawa akan terus menyokong sistem berasaskan peraturan antarabangsa yang tidak hanya merangkumi aspek perdagangan tetapi secara menyeluruh yang membolehkan Kanada dilihat sebagai negara yang boleh diyakini.
Malaysia adalah antara rakan dagangan barangan dua hala terbesar Kanada di Asia Tenggara dengan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencecah RM8.05 bilion setakat Ogos 2024 – peningkatan ketara sebanyak 41 peratus tahun ke tahun, demikian menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Menurut MITI, perdagangan dua hala itu meningkat sebanyak 25 peratus berikutan penyertaan Kanada dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang turut memudahkan akses bebas cukai untuk barangan selain menghapuskan tarif ke atas eksport utama Kanada. – BERNAMA