JOHOR BAHRU – Kegembiraan jelas terpancar pada wajah lebih 100 asnaf yang diraikan Kelab Majestic Motor Group (MG) dalam majlis berbuka puasa dan sumbangan duit raya di Restoran Tarim Hadramant, Kempas di sini malam tadi.
Mereka yang terdiri daripada terdiri dari anak yatim, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan pelajar madrasah turut diserikan dengan persembahan qasidah dan bacaan ayat al-Quran daripada para pelajar tahfiz.
Menurut Presiden Kelab Majestic MG, Zulkarnain Isahak, program tersebut bertujuan meraikan asnaf dan insan istimewa terbabit selain berkongsi rezeki dan duit raya.
“Program ini merupakan kali ketiga setakat ini dan kami mengambil peluang berkongsi kegembiraan dan meringankan beban mereka,” katanya.
Turut hadir Timbalan Presiden Kelab Majestic MG, Rizam Mamin, Setiausaha Kelab Majestic MG, Mas Imran Adam dan lebih 50 ahli kelab motosikal kuasa tinggi tersebut.
Sementara itu, ibu tunggal kepada sembilan anak termasuk seorang daripadanya berstatus OKU, Noorfazlin Zainal Abidin, 42, teruja dan melahirkan kesyukuran kerana diundang dalam program tersebut.
Dia yang tinggal di Program Perumahan Rakyat PPR Uda Utama di sini berkata, mereka hidup seadanya dengan pendapatan RM500 sebulan hasil berniaga masakan dari rumah.
Noorfazlin berkata, keluarganya masih belum membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri kerana lebih utamakan keperluan harian.
“Persiapan raya belum ada apa-apa pun. Lebih pentingkan keperluan makan dan minum untuk kami sekeluarga. Kalau dapat sepasang baju pun bersyukur tapi buat masa sekarang belum lagi,” ujarnya.
Dia berkata, keluarganya turut mendapat bantuan RM1,000 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan RM500 daripada Baitulmal sebulan.
Noorfazlin berkata, mereka menyewa di PPR tersebut dengan kadar RM250 sebulan selain rakan-rakan dan NGO turut membantu.- MalaysiaGazette