JOHOR BAHRU 18 Mac – Seorang lelaki yang tertekan kerana perselisihan faham dengan isteri mengelar lehernya sendiri menggunakan pisau pemotong daging di hadapan sebuah restoran di Danga Bay di sini semalam
Video tindakan lelaki berusia 27 tahun itu yang berdurasi 11 saat tular dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 12.25 tengah malam selepas dimaklumkan oleh anggota polis bantuan di lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati mangsa bertindak sedemikian akibat tekanan perasaan selepas berlaku perselisihan faham dengan isterinya.
“Mangsa kini dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular sebuah video di aplikasi X oleh pemilik akaun Update1111 yang memaparkan kejadian seorang lelaki telah mengacukan pisau dan mengelar leher sendiri di hadapan sebuah restoran.
Raub berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan video kejadian yang tular dalam media sosial bagi mengelakkan spekulasi serta salah faham yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Polis juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan fizikal dalam menyelesaikan sebarang perselisihan faham.
“Sebarang ketidakpuasan hati seharusnya diselesaikan secara aman melalui saluran yang betul,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di 07-2182323.- MalaysiaGazette
Caption gambar: Tangkap layar video yang tular memaparkan seorang lelaki cuba mengkelar lehernya di hadapan sebuah restoran di Danga Bay, Johor Bahru, semalam