IPOH – Seorang lelaki Orang Asli dikhuatiri lemas ketika memukat ikan selepas dibawa arus deras di sungai di Kampung Kuala Chenein, Lasah dekat Sungai Siput, semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian melibatkan mangsa Amran Ahin, 43, pada 9.34 malam yang ketika itu memukat ikan bersama adiknya.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput, Kuala Kangsar dan Ipoh kemudiannya digerakkan ke lokasi kejadian.
“Operasi yang bersambung sejak 8 pagi tadi melakukan pencarian dalam radius satu kilometer dari lokasi mangsa dipercayai hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sabarodzi berkata pasukan pencarian akan dipecahkan kepada beberapa kumpulan dengan dibantu oleh agensi lain dan orang awam. – BERNAMA