LANGKAWI – Seorang lelaki warga India ditemui mati lemas ketika mandi bersama keluarga di Tasik Dayang Bunting di sini, hari ini.
Mangsa, Agnihotri Vivek Ashok, 55, disahkan meninggal dunia lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian jam 12 tengah hari.
“Mangsa dikatakan sedang bermandi bersama keluarganya sebelum dilaporkan hilang dan tidak muncul di permukaan air.

“Orang awam dan keluarga telah membuat pencarian di kawasan sekitar namun mangsa gagal ditemui.
“Susulan itu, operasi pencarian dilakukan pihak bomba sebelum menemui mangsa kira-kira jam 2.29 petang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Shariman, hasil soal siasat petugas di Tasik Dayang Bunting, sebelum kejadian, mangsa dan keluarga telah diminta memakai jaket keselamatan namun enggan dan terus mandi di tasik berkenaan sebelum mangsa tenggelam.
“Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha untuk proses bedah siasat.
“Orang ramai juga dinasihatkan mematuhi peraturan dan arahan petugas bagi memastikan keselamatan mereka semasa berkunjung ke Tasik Dayang Bunting,” katanya. – MalaysiaGazette