Sheikh Umar Bagharib Ali.

KUALA LUMPUR – Menyertai DAP bukan bermaksud keluar dari Islam untuk menganut agama lain, kata Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali.

Sehubungan itu, beliau menggesa tuduhan `kafir’ dan `murtad’ terhadap pemimpin Melayu dalam DAP seperti yang dilemparkan kepada Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman dihentikan serta-merta.

Tegas Sheikh Umar, menyertai DAP tidak ada kaitan dengan iktidad keislaman seseorang memandangkan DAP adalah wadah atau kenderaan politik, bukannya agama.

“Mereka yang tuduh menyertai DAP sebagai terkeluar dari Islam, ada dua kemungkinan; Pertama samada mereka JAHIL atau kedua mereka berfikrah EKSTRIMIS.

“Menuduh seseorang muslim sebagai ‘kafir’ merupakan amalan takfiri. Ia sama seperti perangai golongan Khawarij.

“Dalam sejarah, golongan Khawarij telah menghalalkan darah orang Islam yang tak sealiran dengan mereka. Kesannya, berlaku pembunuhan dan umat Islam berpecah. Ini sangat bahaya,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Tambah Sheikh Umar, DAP merupakan sebuah parti yang berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan bergerak secara sah mengikut lunas undang-undang.

Selain itu, katanya, DAP juga bergerak mengikut Perlembagaan negara dan mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu saya menyeru pada semua, berhentilah menuduh KAFIR dan MURTAD keatas muslim yang menyertai DAP,” katanya.

Sebelum ini, Syahredzan dan Young Syefura dituduh telah murtad dan menjadi kafir selepas menang Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Ahad lalu.

Syahredzan yang turut dilantik sebagai Naib Pengerusi DAP Kebangsaan berkata, selain murtad kedua-dua pemimpin Melayu dalam parti itu turut dilemparkan dengan pelbagai tuduhan jelek. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here