KUALA LUMPUR – Anggaran kerugian Malaysia akibat banjir pada tahun 2024 adalah sebanyak RM933.4 juta (2023: RM755.4 juta), bersamaan 0.05 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal (2023: 0.04%) dengan Kelantan, Kedah dan Terengganu paling terjejas
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kerugian terbesar dicatatkan bagi tempat kediaman, melonjak kepada RM372.2 juta (2023: RM168.3 juta), diikuti aset awam dan infrastruktur sebanyak RM303.4 juta (2023: RM380.7 juta).
Kerugian dalam sektor pertanian turut meningkat kepada RM185.2 juta (2023: RM120.6 juta), manakala premis perniagaan mencatatkan kerugian sebanyak RM54.1 juta (2023: RM53.2 juta).
Sementara itu, kerosakan kenderaan berjumlah RM17.3 juta (2023: RM22.3 juta), manakala sektor pembuatan mencatatkan kerugian paling kecil, iaitu RM1.2 juta (2023: RM10.3 juta).
Dari segi tempat kediaman, Kelantan mencatatkan kerugian terbesar sebanyak RM139 .0 juta, diikuti Terengganu dengan RM103.1 juta dan Kedah RM54.0 juta.
Di Kelantan, daerah paling terjejas ialah Pasir Mas dengan kerugian berjumlah RM46.2 juta, diikuti Tumpat (RM31.7 juta) dan Kota Bharu (RM19.2 juta).
Sementara itu, di Terengganu, Besut merekodkan kerugian tertinggi bagi tempat kediaman berjumlah RM38.4 juta, diikuti Setiu (RM16.1 juta) dan Kemaman (RM14.2 juta).
Bagi Kedah pula, Kota Setar dan Kubang Pasu mencatatkan kerugian tertinggi, masing-masing RM22.0 juta dan RM9.4 juta, diikuti Baling dengan RM6.9 juta.
Mohd Uzir berkata, Kelantan menanggung kerugian premis perniagaan terbesar, berjumlah RM27.1 juta, diikuti Terengganu sebanyak RM16.4 juta dan Kedah sebanyak RM4.3 juta.
Di Kelantan, Pasir Mas dan Kota Bharu mengalami impak kewangan yang paling ketara, masing-masing dengan kerugian RM9.8 juta, manakala Tumpat mencatatkan kerugian RM5.0 juta.
Di Terengganu, Besut merekodkan kerugian tertinggi sebanyak RM6.4 juta, diikuti Setiu (RM2.9 juta) dan Dungun (RM1.9 juta).
Sementara itu, di Kedah, Kota Setar merekodkan kerugian tertinggi sebanyak RM2.8 juta, diikuti Baling dan Pokok Sena, masing-masing RM0.8 juta dan RM0.4 juta.
Terengganu mencatatkan kerugian kerosakan kenderaan tertinggi berjumlah RM5.8 juta, diikuti dengan Kelantan sebanyak RM4.0 juta dan Kedah sebanyak RM2.1 juta dengan daerah yang paling terjejas ialah Besut (RM1.4 juta), diikuti dengan Kemaman (RM1.0 juta), dan Dungun (RM0.8 juta).
Bagi Kelantan, Tumpat merekodkan kerugian kenderaan tertinggi berjumlah RM1.8 juta, diikuti Pasir Mas (RM1.0 juta) dan Kota Bharu (RM0.5 juta).
Sementara itu, di Kedah, Kota Setar mengalami kerugian tertinggi sebanyak RM0.9 juta, diikuti Pokok Sena (RM0.5 juta) dan Baling (RM0.3 juta).
Bagi sektor pembuatan, Kelantan mencatatkan kerugian sebanyak RM1.1 juta, dengan Pasir Mas mengalami impak tertinggi berjumlah RM1.0 juta, manakala Pasir Puteh dan Tumpat merekodkan kerugian lebih rendah, masing-masing di bawah RM100,000.
Banjir tahun 2024 memberi impak yang cukup besar kepada ekonomi negara, dengan majoriti kerugian tertumpu kepada tempat kediaman, infrastruktur awam dan pertanian.
Kelantan, Terengganu dan Kedah mengalami kerugian yang paling ketara, terutama pada tempat kediaman dan premis perniagaan, sementara kerugian kenderaan dan pembuatan hanya mengalami kerosakan yang sederhana.
Data ini memperlihatkan hubung kait risiko ekonomi rentetan banjir yang sering berulang serta keperluan untuk memperkukuh daya tahan dan kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana ini.
Oleh itu, langkah kehadapan, usaha mempertingkatkan infrastruktur, menambah baik sistem pertahanan banjir, dan mengoptimumkan peruntukan sumber perlu diberi keutamaan bagi mengukuhkan lagi daya tahan serta kestabilan ekonomi negara untuk jangka masa panjang.
Berdasarkan kajian kes yang dijalankan oleh DOSM, sebanyak 65 peritus mangsa banjir menerima bantuan dalam tempoh 48 jam.
Lebih 45% mangsa banjir bersedia menghadapi bencana dengan menyimpan stok keperluan harian bagi memastikan kelangsungan hidup dalam tempoh kecemasan.
Selain itu, 17% mengambil langkah perlindungan dengan mencarum insurans sebagai jaminan kewangan sekiranya berlaku kerosakan atau kerugian namun, kurang daripada 0.1% memilih untuk tidak mencarum insurans.
Sementara itu, 25% mangsa banjir tidak membuat sebarang persediaan, yang mungkin meningkatkan risiko kesukaran semasa dan selepas kejadian banjir. – MalaysiaGazette