KUALA LUMPUR – Pusat Tindak Balas Penipuan Nasional (NSRC) yang bertanggungjawab terhadap kes penipuan atas talian dan menyekat dana dicuri telah menerima dan mengendalikan sebanyak 161,863 panggilan berkaitan kes penipuan setakat 31 Disember 2024.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, pada sama sama, NSRC juga telah mengenal pasti 72,523 akaun bank yang disyaki terlibat dalam transaksi mencurigakan melibatkan jumlah keseluruhan RM50.87 juta.
Justeru itu, pihaknya telah mencadangkan 139 perjawatan tetap bagi memperkasakan peranan dan fungsi NSRC dalam usaha menangani jenayah penipuan dalam talian secara lebih efisien pada masa depan.
Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengetuai operasi NSRC dengan dikawal selia Kementerian Dalam Neger ibagi memastikan tindak balas lebih pantas terhadap kes penipuan dalam talian.
“NSRC yang telah ditubuhkan pada Oktober 2022 juga akan dikendalikan secara bersama antara Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), PDRM serta Bank Negara Malaysia (BNM).
“Dengan cadangan penambahan jawatan tetap ini, pengoperasian NSRC dijalankan secara lebih sistematik selepas ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Tambah Ramli, langkah sebegini sudah dilaksanakan oleh negara serantau seperti Thailand, Singapura ketika ini yang dikenali sebagai Pusat Anti Penipuan.
Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan JSJK juga dalam rangka menambah baik beberapa peruntukan undang-undang selain mencadangkan pewujudan beberapa seksyen baharu.
Kata beliau, sebelum ini juga pihaknya sudah berjaya melakukan pindaan terhadap Kanun Keseksaan dengan memasukkan peruntukan Seksyen 424A, 424B, 424C dan 424D juga Kanun Tatacara Jenayah dengan memasukkan peruntukan Seksyen 116D.
Peruntukan itu berkaitan dengan keldai akaun dan sekatan urusan transaksi kewangan. – MalaysiaGazette