BATU PAHAT – Tindakan seorang lelaki yang didakwa membunuh dengan membakar ibu kepada tiga anak dengan menggunakan petrol minggu lalu membawa padah apabila dituduh di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Muhammad Firdaus Baktehir, 29, tiba di mahkamah pada pukul 8.30 pagi diiringi anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.
Tertuduh yang bekerja kebun dilihat berjalan terhencut-hencut akibat kedua-dua paha melecur disambar api dalam kejadian kebakaran di rumah ibu tunggal tersebut yang merupakan kenalannya.
Selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass, dia yang masih bujang hanya mengangguk faham.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Tertuduh didakwa menyebabkan kematian Syarah Nurul Masturah Abdullah, 31, di sebuah rumah di Kampung Baru, Sri Gading, pukul 5 petang pada 8 Mac lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau pemenjaraan hingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali jika tidak dikenakan hukuman mati.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 24 April ini untuk sebutan semula kes untuk laporan forensik.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati kejadian pada Rabu lalu itu berpunca daripada insiden pertengkaran mulut antara mangsa wanita dengan suspek.
“Kemudiannya telah berlarutan sehingga berlaku insiden menggunakan pemetik api dan minyak petrol yang menyebabkan berlaku kebakaran pada rumah kediaman tersebut dan api yang marak turut menyambar bahagian badan mangsa dan suspek,” katanya.
Menurutnya, kejadian tersebut menyebabkan mangsa dan suspek mengalami kecederaan akibat kebakaran pada bahagian badan masing-masing dan dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
Mangsa mengalami kecederaan melecur dengan darjah terbakar pada tahap lebih kurang 74 peratus manakala suspek pada tahap lebih kurang 13.5 peratus.
Rumah tersebut pula, katanya, telah terbakar pada tahap lebih kurang 30 peratus daripada struktur keseluruhan rumah.
“Berdasarkan hasil siasatan awal dalam kejadian berkenaan dan di peringkat tersebut kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu melakukan perbuatan cubaan bunuh dan Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu melakukan perbuatan khianat dengan api atau benda letupan dengan niat hendak membinasakan rumah,” ujarnya.
Menurutnya, apabila mangsa meninggal dunia di HSNI, pihak polis mengklasifikasi semula siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette