KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan terancang terhadap Perdana Menteri Gaza, Abu Muaz Ad-Da’alis oleh tentera penjajah Israel.
Tindakan keganasan itu merupakan sebahagian daripada genosid berterusan terhadap rakyat Palestin serta usaha terdesak Israel untuk menghancurkan kepimpinan Palestin, kata Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid.
“Pembunuhan beliau oleh tentera penjajah Israel adalah satu lagi jenayah perang yang kejam bertujuan untuk meruntuhkan kepimpinan Palestin serta melemahkan semangat perjuangan.
“Namun sejarah membuktikan bahawa para syuhada tidak pernah mati sia-sia—mereka menjadi suluh perjuangan bangsa untuk kebebasan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Mohd Azmi, Abu Muaz Ad-Da’alis telah mengabdikan hidupnya untuk berkhidmat kepada rakyat, teguh mempertahankan tanah airnya daripada penjajahan serta menegakkan keadilan di tengah-tengah kezaliman yang berterusan.
“Pengorbanannya akan dikenang sebagai lambang keberanian dan keteguhan rakyat Palestin dalam menghadapi penindasan.
“Kami menegaskan komitmen kami dalam menyokong Gaza dalam perjuangan menuntut keadilan, kebebasan dan maruah. Kehilangan seorang pemimpin tidak akan melemahkan perjuangan Palestin—sebaliknya ia akan menguatkan tekad rakyat untuk terus menentang kezaliman,” ujarnya.
Justeru MAPIM mahu masyarakat antarabangsa supaya mengecam pembunuhan terancang itu dan menuntut pertanggungjawaban Israel atas jenayah perangnya.
Negara-negara Islam dan organisasi kemanusiaan global perlu mengambil tindakan tegas dalam menyokong Gaza.
“Pembunuhan Abu Muaz Ad-Da’alis dan pemimpin Palestin lain tidak akan melemahkan perjuangan. Sebaliknya, ia akan membakar semangat rakyat Gaza untuk terus bangkit menuntut kebebasan.
“Sejarah telah membuktikan bahawa pembunuhan pemimpin tidak pernah mematahkan perjuangan bangsa yang tertindas—Palestin juga tidak terkecuali,” katanya. – MalaysiaGazette