PUTRAJAYA – Semua pemimpin dan ilmuan agama sama ada Islam atau agama lain perlu menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat tentang kesatuan dan kesepaduan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ini kerana kerjasama dan kesepaduan antara rakyat pelbagai kaum dan agama penting demi keharmonian negara.
Sehubungan itu katanya, apa juga program melibatkan perpaduan rakyat perlu disokong.
“Apa yang diusahakan dalam Islam dan agama lain untuk kita wujudkan kesatuan dan perpaduan di kalangan kita semua. Apa sahaja program yang boleh membawa rakyat kita ke arah kesatuan dan perpaduan sangat digalakkan.
“Saya harap orang bukan Islam dan Islam dalam kalangan ketua-ketua agama supaya dapat memberi contoh baik mereka ilmuan Islam atau agama lain.
“Kita perlu menunjukkan contoh yang terbaik kepada pengikut-pengikut kita, demi wujudkan kesatuan dan perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Iftar Muhibah Kepelbagaian Dalam Bingkai Kesatuan.
Turut hadir Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Dagang.
Terdahulu, Nai’im berkata insiden melibatkan sensitiviti agama perlu dielakkan demi mengelakkan bibit kebencian tercetus sesama rakyat.
Justeru itu ujarnya, ia perlu ditangani dengan efektif agar tidak berulang.
“Sejak kebelakangan ini timbul insiden-insiden yang boleh dianggap menyedihkan kalau tidak dikawal dan diurus dengan baik kita bimbang jadi perbicaraan di kalangan rakyat ini. Sudah tentu dalam konteks Islam, satu perkara yang kita kena elakkan berlaku adalah perkara sebegini,”jelasnya.
Sementara itu beliau menambah, perdebatan terbuka yang melibatkan isu sensitif seperti agama perlu dielakkan untuk menghindari perpecahan daripada berlaku dalam masyarakat.
“Ini kerana cara tersebut boleh membawa kesan yang tidak diingini kepada keharmonian negara,” katanya lagi.-MalaysiaGazette