KUALA LUMPUR – Pemuda AMANAH Nasional mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel yang melanggar genjatan senjata dan meneruskan serangan kejam terhadap rakyat Palestin.
Pengerusi Biro Antarabangsanya, Mus’ab Muzahar berkata, sokongan AS secara terbuka kepada Israel bukan sahaja memburukkan keadaan malah menjadi penghalang kepada sebarang usaha damai.
“Hal ini jelas menunjukkan genjatan senjata sudah berakhir akibat dilanggar oleh Israel dan AS sendiri yang langsung tidak berniat untuk menghormati sebarang perjanjian damai.
“Ini berbeza dengan pejuang pembebasan Palestin telah menunjukkan komitmen dalam menjaga tebusan dengan baik, seperti yang terbukti dalam pelbagai rakaman yang tersebar.
“Para tebusan dilayan dengan berperikemanusiaan, diberikan makanan dan rawatan, yang jauh berbeza dengan kekejaman Israel yang sering meletakkan rakyat mereka sendiri dalam bahaya demi justifikasi serangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mus’ab turut menggesa masyarakat antarabangsa untuk bertindak lebih tegas dan tidak sekadar menjadi pemerhati bisu.
“Kita tidak boleh hanya berharap pada tekanan diplomatik semata-mata kerana masyarakat global perlu bertindak dengan cara yang nyata.
“Ini termasuk terus memboikot syarikat yang menyokong genosid ini dan mendukung usaha pembebasan Palestin dengan segala cara yang ada,” tambahnya. – MalaysiaGazette