KUALA LUMPUR – Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda dengan menetapkan jawatan Perdana Menteri mesti terdiri daripada orang Melayu dan beragama Islam terlebih dahulu sebelum had dua penggal Perdana Menteri diluluskan.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penetapan itu sangat penting demi menjamin kestabilan dan mengelak konflik pada masa akan datang.
Ujar beliau, rakyat perlu menerima hakikat negara ini sejak dahulu lagi dikenali sebagai negeri Tanah Melayu, dan setiap warganegara Malaysia memahami melalui ikrar rukun negara bahawa Raja-Raja Melayu adalah tunggak pemerintah yang perlu diberikan ketaatan.
“Maka semua rakyat tanpa prejudis perlu bersetuju bahawa jawatan Perdana Menteri ini harus dipikul oleh mereka yang berbangsa Melayu dan beragama Islam.
“Penetapan ini perlu diberi keutamaan sebelum mencadangkan had tempoh bagi jawatan Perdana Menteri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, langkah mengehadkan tempoh masa jawatan Perdana Menteri dengan alasan untuk mengelakkan salah guna kuasa serta penyelewengan sepatutnya tidak berbangkit.
Ini kerana, menurutnya, segala kerja baik atau buruk tidak terikat dengan tempoh masa, namun ia sebenarnya terikat dengan pegangan serta kepercayaan seseorang individu.
Jelas beliau, iman dan takwa seharusnya menjadi teras utama kepada seseorang untuk melakukan kebaikan atau kejahatan.
“Pas memandang jawatan sebagai suatu tanggungjawab dan amanah (taklif) bukan satu kemuliaan atau kebanggaan sebagaimana Islam mengajar umatnya bahawa segala amanah dan tanggungjawab hamba Allah yang diberikan di dunia ini akan disoal oleh Allah di akhirat.
“Setiap muslim harus meyakini bahawa seseorang itu mungkin boleh terlepas daripada hukuman di dunia namun pastinya ia tidak akan terlepas di akhirat,” katanya.
Sehubungan itu, atas keyakinan pemimpin yang bertakwa pasti tahu tanggungjawab berat yang beliau perlu pikul di akhirat, Pas berpendapat, seseorang pemimpin Melayu Islam yang akan dilantik sebagai Perdana Menteri hendaklah memenuhi kriteria tersebut.
“Hal ini pasti menjamin kestabilan negara pada masa depan, insya-Allah,” katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, kerajaan perlu meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
Menurutnya, perkara itu perlu dilakukan dalam tempoh dua tahun dari sekarang memandangkan ia merupakan antara manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu yang perlu ditunaikan. – MalaysiaGazette