KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) bersedia pada bila-bila masa termasuk pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) untuk menjadi kerajaan alternatif atau kerajaan menunggu, kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Jelas beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), gabungan politik itu lebih bersedia kini ketika rakyat sedang berdepan dengan pelbagai kesulitan hidup di bawah pentadbiran kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Apakah kita PN dan Bersatu bersedia untuk jadi kerajaan alternatif atau kerajaan menunggu,…tak payah sebut apa-apa, kami sentiasa bersedia bila-bila masa.
“Kesedian kita untuk mentadbir urusan negara lebih-lebih lagi dalam keadaan yang tertekan, rakyat berdepan dengan situasi yang amat sukar, pendapatan tidak meningkat, inflasi melambung, harga barang naik luar jangkaan, subsidi sudah tidak ada…sudah pasti ia sesuatu yang amat menyulitkan.
“Tetapi kalau kita diberikan peluang, kita akan betulkan keadaan…ada dalam perkara-perkara tertentu yang kita ada jawapan kepada semua perkara itu,” katanya.
Beliau berucap pada majlis berbuka puasa Presiden Pengasas Bersatu bersama pengamal media di sini, malam ini.
Sementara itu, Muhyiddin turut mempersoalkan langkah pelarasan subsidi yang dibuat kerajaan hari ini yang didakwa menyebabkan kesan buruk berganda kepada rakyat.
Jelas beliau, banyak kajian yang dilakukan termasuk oleh badan pemikir PN membuktikan kaedah pelarasan subsidi oleh Kerajaan Perpaduan itu turut mendorong kepada kenaikan kos sara hidup rakyat.
“Kalau kita buat (pelarasan subsidi), kita tak akan lakukan seperti mana PH lakukan yang membawa kesan berganda, bukan berganda yang baik, berganda yang tidak baik,” katanya.
Bermula 10 Jun tahun lalu, kerajaan mula melaksanakan pelarasan subsidi bahan api diesel yang mana harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik.
Sementara itu, kerajaan juga dijangka melaksanakan pelarasan subsidi bagi bahan api petrol RON95 dan tarif elektrik pada pertengahan tahun ini. – MalaysiaGazette