Mantan Presiden Persatuan Bola Sepak KL, Khalid Samad bercakap pada sidang media khas ketika di Bangunan Dewan Serbaguna Kampong Bharu, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 19 MAC 2025.

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) akan memastikan pengundinya akan memilih calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April depan.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata, ini kerana PRK itu melibatkan Kerajaan Perpaduan berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) lalu yang menyaksikan Amanah mewakili Pakatan Harapan (PH) menentang BN dan Perikatan Nasional (PN).

Jelas beliau, Amanah ingin memberi isyarat jelas kepada rakyat bahawa kestabilan politik yang dicapai menerusi Kerajaan Perpaduan menjadi keutamaan apatah lagi kerusi tersebut telah dimenangi BN.

“Kita hormati keputusan rakyat yang majoriti sokong calon BN pilihan raya lalu,
Amanah akan turun padang untuk yakinkan pengundi dan penyokong Amanah supaya sokong calon BN dalam PRK kerana kita sebahagian dalam Kerajaan Perpaduan.

“Semua yang menyokong Amanah kita galakkan mereka menyokong calon BN dalam PRK Ayer Kuning seperti mana juga BN melakukan bila Amanah jadi calon dalam PRK,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

SPR menetapkan hari pengundian PRK DUN Ayer Kuning, Perak pada 26 April depan di mana tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Pada PRU15, Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 2,213 undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).

Kerusi DUN Ayer Kuning menjadi kubu kuat BN sejak lapan penggal lalu.

Sementara itu, PN mempertaruhkan calon Pas kerana parti itu menyasarkan kerusi DUN berkenaan sebelum ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here