ALOR GAJAH – Usianya yang baru 18 tahun bukanlah penghalang bagi seorang remaja lelaki mengusahakan perniagaan kuih tradisional baulu yang lazimnya didominasi golongan veteran.
Malah Muhammad Najmi Amzairy, 18, nekad meneruskan perniagaan arwah bapanya Amzairy M Dewa yang meninggal dunia pada 2021 akibat angin akhmar selepas hampir 20 tahun mengusahakan perniagaan itu.
Menurutnya, segalanya bermula apabila dia mempelajari resepi dan teknik penyediaan bahulu daripada sepupunya,
Arif Fathilah Othman, 28, yang terlebih dahulu mengambil alih perniagaan itu dari arwah bapanya.
“Semasa hayat arwah, abang sepupu yang banyak bantu ayah sebelum mula bekerja dan masa itu saya cuma bantu sikit-sikit dan tidak terlibat sepenuhnya.
“Tapi bila abang sepupu demam pada Ramadan 2021, dari situlah saya mula belajar sepenuhnya untuk membuat kuih baulu sehinggalah ke hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di bengkel pembuatan baulu di Melaka Pindah di sini hari ini.

Menurutnya dia tidak menyangka lama kelamaan, timbul perasaan minat untuk meneruskan legasi peninggalan arwah bapanya itu sehingga mampu menyara adik perempuan berumur 14 tahun yang masih bersekolah.
“Kalau nak ikutkan, asalnya arwah bapa buat baulu untuk bagi (sedekah) kepada kenalan tapi selepas itu mereka berminat untuk membelinya kerana rasanya yang rangup di luar dan lembut di dalam berbeza dengan baulu kek yang lain.
“Itulah yang membuatkan saya bersemangat dan mahu berdikari sendiri melalui perniagaan baulu ini tambahan pula kawan-kawan bagi sokongan walaupun ia bukanlah kerjaya pilihan kebanyakan anak muda,” tambahnya lagi.

Menyentuh mengenai tempahan yang diterima sepanjang Ramadan ini, Muhammad Najmi berkata, dia dan Arif Fathilah hanya mampu membuat 1,000 biji atau 20 bekas baulu sahaja, ia meningkat sekali ganda berbanding di luar musim perayaan.
Jelasnya, ia kerana perniagaan itu hanya diusahakan mereka berdua menggunakan satu pengadun dan dua ketuhar pembakar dan setiap satu bekas mengandungi 50 biji baulu dijual pada harga serendah RM17.
“Walaupun berlaku peningkatan kos bahan mentah, kami tak mahu jual terlalu mahal kerana hendak berkongsi keuntungan dengan pekedai yang membantu memasarkannya,” katanya.

Sementara itu, ketekunan dan kesungguhan mereka turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem yang meluangkan masa kira-kira satu jam di bengkel pembuatan kuih baulu itu.
“Di peringkat DUN, saya akan melihat cara bagaimana untuk membantu mereka memasarkan kuih tradisonal ini yang mempunyai potensi besar menembusi pasaran luar.
“Saya juga berharap syarikat-syarikat swasta dapat melakukan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di sini mungkin menyumbangkan oven baharu kepada dua anak muda ini,” katanya.
Mereka yang ingin membuat tempahan Bahulu Nenda (Am Bahulu) boleh hubungi talian 016-2667918. – MalaysiaGazette