PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa `menekan’ seorang saksi penting pendakwaan supaya memberi keterangan yang `memihak’ kepada agensi itu pada perbicaraan kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik berhujah, bekas Penolong Bendahari Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada), Rafiq Hakim Razali berjaya `dipatahkan’ oleh SPRM dalam tempoh enam hari siasatan dijalankan.

Hujah beliau, wujud bukti yang menunjukkan Rafiq yang juga saksi pendakwaan ke-13 (SP13) `ditekan’ supaya memberi keterangan yang memuaskan hati agensi tersebut.
Hisyam berhujah, tekanan itu membawa kepada andaian bahawa saksi berkenaan mereka-reka keterangan di mahkamah seperti yang dikehendaki SPRM.
Sehubungan itu, pihak pembelaan merumuskan bahawa Rafiq Hakim bukan saksi yang boleh dipercayai kerana menghadapi tekanan teruk ketika siasatan dalam tempoh tahanan reman.
Hisyam berhujah demikian pada pendengaran rayuan Syed Saddiq terhadap sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta atas empat kesalahan melibatkan dana Armada.
Ahli Parlimen Muar itu disabitkan atas kesalahan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) berkaitan dana Armada.
Beliau selanjutnya berkata, seorang saksi pembelaan, Siti Nurul Hidayah ketika memberi keterangan turut mengaku dikasari dan diugut pegawai SPRM ketika siasatan kes Syed Saddiq pada 2020.
Susulan itu, kata peguam, Siti Nurul Hidayah membuat laporan polis dan mengadakan sidang media.
Oleh yang demikian, pihak pembelaan menghujahkan, kegagalan hakim bicara untuk mempertimbangkan keterangan saksi-saksi yang menghadapi tekanan, menyebabkan berlakunya salah arah yang serius ketika mensabitkan Syed Saddiq.
Hujah peguam, sehubungan itu, Ahli Parlimen Muar tersebut tidak menerima perbicaraan yang adil yang merupakan satu hak yang dijamin di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah mendengar rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan hukuman penjara tujuh tahun dan didenda RM10 juta serta dua sebatan atas kesalahan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) berkaitan dana Armada.
Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman itu bagi keempat-empat pertuduhan.
Rayuan di hadapan panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin bersambung esok. – MalaysiaGazette