KUANTAN – Seorang anggota polis berpangkat sarjan didakwa atas tuduhan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana meminta suapan gelang emas daripada seorang wanita.
Tindakan rasuah berkenaan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas seorang wanita berkaitan kes pukul pada 15 April, dua tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Khairi Aswadi Mohamad, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas tuduhan tersebut di hadapan Hakim Sazlina Safie.
Sesi pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ezuain Farhana Ahmad manakala pembelaan diwakili Datuk Bob S.Arumugam dan Ravi Sharkar Ghandi.
Dalam kertas pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh didakwa meminta suapan itu sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas suspek wanita berusia 39 tahun berkaitan kes pukul.
Mohd Khairi didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai makanan segera di Taman Chengal, Temerloh kira-kira pukul 2 petang, 15 April 2023 lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pada prosiding berkenaan pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM12,000 beserta dengan syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat di Temerloh setiap bulan.
Selain itu, tertuduh tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan dan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 15 Mei depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut. – MalaysiaGazette