PUTRAJAYA – “Saya tidak minta banyak, hanya kebenaran. Saya telah disiasat sejak tahun 2020 dan ini masuk tahun kelima.
“Saya yakin dengan institusi kehakiman untuk bersihkan nama dan integriti saya,” kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kepada pihak media di pekarangan Mahkamah Rayuan di sini hari ini.
Beliau hadir prosiding rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta berkaitan penyelewengan dana Armada.
Ujar Syed Saddiq, kes yang dihadapi lebih besar daripada dirinya kerana ia melibatkan budaya sogok menyogok.
Beliau bersedia untuk menghadapi kebenaran dan keadilan kerana mahkamah merupakan benteng terakhir institusi kehakiman, tempat beliau meletakkan nasibnya.
Beliau turut diiringi ahli keluarga terdekat termasuk bapanya, Syed Abdul Rahman Syed Abdullah dan ibu Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz.
Syed Saddiq, 33, mencipta sejarah sebagai wakil rakyat pertama dikenakan sebatan kerana melakukan kesalahan jenayah kolar putih.
Beliau didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023 kerana bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan akan bersidang sebentar lagi. – MalaysiaGazette