PUTRAJAYA – Lima belas tahanan Palestin yang dibebaskan Israel perlu mematuhi syarat ketat yang dikenakan Malaysia termasuk melibatkan aspek keselamatan serta aktiviti dan keberadaan mereka di negara ini.
Jurucakap kerajaan perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil menjelaskan, buat masa ini individu terbabit masih belum dibawa masuk ke Malaysia dan prosesnya juga masih belum bermula.
“Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) pada mesyuarat Jemaah Menteri memberi sedikit penerangan berhubung 15 orang warga Palestin yang akan dibawa ke Malaysia dan ia adalah susulan kepada keputusan OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) untuk sokong usaha pendamaian dan gencatan di Gaza.
“Jumlah tawanan Palestin (yang akan dibebaskan) dari penjara Israel sekitar 380 tetapi mereka tidak boleh berada di Palestin, maka sejumlah negara seperti Turkiye dan Malaysia setuju mengambil mereka,
“Kita (Jemaah menteri) sedia maklum keadaan sekarang di Gaza.
“Hasil atau pun susulan daripada serangan Israel semalam, maka proses membincangkan gejatan sejata itu sedang berlaku maka kita ikut proses tersebut,” katanya semasa sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia bersedia menerima 15 tahanan atau pejuang Palestin yang dibebaskan Israel sebagai usaha pendamaian di bawah Perjanjian Gencatan Senjata Gaza dalam masa terdekat.
Penerimaan itu adalah sebagai tanda sokongan negara bagi menjayakan salah satu syarat perjanjian gencatan senjata yang mana pejuang Palestin yang dibebaskan tersebut tidak boleh pulang ke Gaza. – MalaysiaGazette