PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak pernah mengarahkan wang RM1 juta dikeluarkan daripada akaun milik Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), lima tahun lalu.
Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik berhujah, tiada arahan sedemikian dikeluarkan kepada Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali yang boleh mengaitkan Ahli Parlimen Muar itu dengan pertuduhan yang dihadapinya.
“Syed Saddiq ketika memberi keterangan bela diri menyatakan beliau tidak pernah mengeluarkan arahan itu kepada Rafiq Hakim,” ujar Hisyam.
Hujah beliau, keterangan perayu itu bagaimanapun tidak dinilai secara keseluruhan oleh hakim bicara ketika mendapatinya bersalah pada akhir kes pembelaan.
Sehubungan itu, pihak pembelaan menghujahkan, Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika mensabitkan Syed Saddiq terhadap pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah dana RM1 juta milik Armada.
Oleh yang demikian, Hisyam berhujah, Mahkamah Rayuan wajar `campur tangan’ dengan membebaskan Syed Saddiq daripada keempat-empat pertuduhan yang dihadapinya.
“Hakim bicara melakukan salah laksana keadilan (miscarriage of justice) yang serius serta tersalah arah dari segi fakta dan undang-undang ketika mensabitkannya,” hujah Hisyam.

Sementara itu, pihak pembelaan turut menghujahkan, pertuduhan yang dirangka terhadap Syed Saddiq tidak betul kerana ia tidak mendedahkan jenis kesalahan yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Muar itu.
Seorang lagi peguam yang mewakilinya, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden berhujah, pertuduhan menyatakan anak guam mereka didakwa bersubahat menyalahguna dana Armada.
Hujah beliau, bagi membuktikan kesalahan subahat salah guna wang, ia haruslah milik individu tertentu, namun dalam kes tersebut tidak dinyatakan ia kepunyaan Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE).
Mohd. Yusof juga berhujah, tiada sesen pun wang daripada RM1 juta itu digunakan atau masuk dalam akaun peribadi Syed Saddiq.
Sehubungan itu, pihak pembelaan menghujahkan, dana itu tidak pada bila-bila masa berada dalam kawalan langsung Syed Saddiq atau dibelanjakannya secara peribadi.
Pihak pembelaan turut berhujah, Syed Saddiq menggunakan wang dalam akaun ABBE untuk menggantikan wangnya sendiri yang kononnya telah didahulukan untuk menjayakan kempen politik pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Keterangan kes menyatakan, akaun ABBE milik Rafiq Hakim itu digunakan untuk dua program meraih dana melalui majlis makan malam di Ampang, Selangor dan Muar yang mana kesemua bayaran untuk majlis itu dimasukkan ke dalam akaun tersebut.

Mahkamah hari ini mendengar rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan hukuman penjara tujuh tahun dan didenda RM10 juta serta dua sebatan atas kesalahan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) berkaitan dana Armada.
Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman itu bagi keempat-empat pertuduhan.
Rayuan di hadapan panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin bersambung esok bagi mendengar hujahan balas pihak pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan kedua, tertuduh disabitkan menyalahguna harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.
Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.
Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. – MalaysiaGazette