Abdul Razak dilepas dan dibebaskan Mahkamah Majistret  Johor Bahru hari ini atas pertuduhan menampar seorang pemuda yang dikatakan 'tidak berpuasa'.

JOHOR BAHRU – Seorang warga emas yang didakwa menampar seorang lelaki yang dikatakan ‘tidak berpuasa’ pada Ahad lalu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret A Shaarmini membuat keputusan berkenaan, selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd Nizam memaklumkan mendapat arahan untuk merujuk semula kertas siasatan kes berkenaan ke Jabatan Peguam Negara (AGC) di Putrajaya.

Nur Fatihah memaklumkan mahkamah, pihaknya baru menerima arahan berkenaan daripada AGC.

Ia menyebabkan anak tertuduh yang berada di galeri mahkamah terkejut dengan arahan terbaharu berkenaan.

Terdahulu, kes berkenaan sempat menjalani prosiding apabila Orang Kena Saman (OKS), Abdul Razak Ismail, 65, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Shaarmini.

Abdul Razak didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang pemuda berusia 21 tahun di premis kedai serbaneka di sebuah pusat beli-belah di sini pukul 3.45 petang, Ahad lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku apabila OKS telah bertindak menampar pipi kanan mangsa.

Pegawai kesihatan yang memeriksa mangsa mengesahkan beliau mengalami lebam di pipi.

Bagaimanapun, OKS kemudian menyatakan beberapa fakta yang dibacakan adalah tidak tepat.

“Masa tak betul. Saya tampar tapi tak sampai lebam,” katanya.

Namun apabila majistret bertanya semula kepada OKS sama ada dia mahu dibicarakan, OKS kemudian berkata, dia tetap mengaku bersalah walaupun tidak bersetuju dengan fakta kes dibacakan.

Ia menyebabkan majistret kemudian menolak pengakuan bersalah OKS berkenaan.

“Saya terpaksa menolak pengakuan bersalah bersyarat dibuat OKS kerana pengakuan bersalah seharusnya dibuat tanpa bersyarat,” katanya.

Bagaimanapun ketika Timbalan Pendakwa Raya sedang berhujah untuk menetapkan jaminan tertuduh, beliau memaklumkan mendapat arahan terbaharu Pejabat Peguam Negara yang mengarahkan untuk mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai DNAA.

Majistret kemudian bertanya sama ada kes berkenaan akan dituduh semula, sebelum Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan mahkamah kes berkenaan akan dituduh semula selepas Pejabat Peguam Negara di Putrajaya meneliti semula kertas siasatan.

Terdahulu, OKS hadir ke mahkamah pukul 8.52 pagi ditemani anak lelakinya.

Ahad lalu, tular video memaparkan seorang lelaki ditegur warga emas berkenaan kerana didakwa makan secara terbuka pada bulan Ramadan di sebuah pusat beli-belah di sini.

Berlaku ketegangan apabila warga emas berkenaan meminta lelaki itu menunjukkan kad pengenalan bagi membuktikan dia bukan beragama Islam.

Lelaki itu yang enggan menunjukkan kad pengenalan kemudian mendakwa telah dimarahi warga emas berkenaan yang kemudian turut menamparnya beberapa kali.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here