JOHOR BAHRU – Sejumlah 20 buah sekolah di tiga daerah iaitu Johor Bahru, Kulai, Pontian, Kluang dan Kota Tinggi dekat sini terjejas akibat banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, bilangan sekolah berkenaan adalah setakat pukul 12 tengah hari dan dijangka bertambah sekiranya cuaca terus buruk.
“Daripada 20 sekolah yang dilaporkan terjejas, tujuh daripadanya dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS), dua dinaiki air dan 11 terputus hubungan.
“Sekolah Kebangsaan (SK) Kangkar Tebrau dan SK Kampung Maju Jaya dekat Johor Bahru dilaporkan telah dinaiki air dan operasi sekolah dihentikan sepenuhnya,” katanya ketika ditemui selepas melawat PPS di SK Bukit Mutiara di sini hari ini.
Katanya, SK Perigi Acheh di Johor Bahru dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Nam Heng di Kota Tinggi, serta sembilan sekolah di Kluang terputus hubungan.
“Tujuh sekolah kita hentikan operasi kerana memberi laluan untuk dijadikan PPS bagi menempatkan mangsa banjir,” katanya.
Menurut Aznan, semua sekolah yang telah digazetkan sebagai PPS kini dalam keadaan siap sedia memandangkan hujan masih berterusan dengan banjir dijangkakan semakin memburuk.
“Setiap daerah memang ada sekolah yang sudah digazetkan untuk dijadikan PPS. Cuma, setakat ini sekolah-sekolah ini sudah diberi penekanan untuk bersedia kerana mungkin bila-bila masa sahaja akan ada mangsa banjir akan ditempatkan,” ujarnya.
Pihaknya juga sudah adakan beberapa siri perbincangan dengan kerajaan negeri dan Persekutuan untuk PPS yang libatkan sekolah ini daapt bersedia lebih awal sekiranya berlaku banjir.
“Daripada segi kerjasama dengan agensi berkaitan pun, kita sudah lakukan secara berterusan dan akan beri bantuan,” katanya.
Aznan berkata, walaupun sesi pembelajaran tidak berlangsung di sekolah yang terjejas, namun kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan.
Setakat ini, katanya, seramai 101 murid di tiga daerah terjejas banjir direkodkan sebagai mangsa banjir. – MalaysiaGazette