JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir di Johor terus melonjak kepada 3,694 orang membabitkan 917 keluarga, setakat pukul 8 malam tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah itu naik mendadak daripada 1,691 orang membabitkan 471 keluarga pada petang tadi.
“Daripada 22 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka bagi menempatkan mangsa banjir, sehingga malam ini jumlah PPS sudah mencecah sebanyak 84 buah.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, Kluang juga sudah mula terjejas banjir menjadikan lima daerah terjejas setakat ini termasuk Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai dan Pontian.
“Johor Bahru mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir yang paling besar yang mana kini mencecah 1,288 orang daripada 207 keluarga ditempatkan di 19 PPS.
“Ini diikuti Kota Tinggi dengan 733 mangsa (212 keluarga) di 16 PPS dan Pontian pula meningkat kepada 688 mangsa (192 keluarga) di 19 PPS.
“Jumlah mangsa banjir di Kulai pula kini mencecah 506 orang terdiri daripada 159 keluarga ditempatkan di tujuh PPS dan Kluang dengan 479 mangsa membabitkan 147 keluarga di 24 PPS,” katanya menerusi kenyataan akhbar malam ini.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) masih tidak mengeluarkan sebarang amaran ribut petir bagi negeri ini, namun masih dengan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk di enam daerah.
Amaran hujan lebat berterusan itu membabitkan daerah Johor Bahru, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai dan Kota Tinggi yang dijangka berlaku sehingga esok.
Amaran hujan berterusan tahap waspada pula dikeluarkan membabitkan daerah Tangkak, Segamat, Muar dan Batu Pahat, juga dijangka sehingga esok.
Pada masa sama, Sungai Batu Pahat, Sungai Endau, Sungai Johor, Sungai Pulai, Sungai Skudai dan Sungai Jemaluang merekodkan bacaan air sungai melepasi paras bahaya.
Semua daerah di negeri ini masih dilaporkan hujan setakat jam 8 malam tadi.- MalaysiaGazette