KUALA LUMPUR – Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan perubahan tarikh baharu bagi aksi final Piala Malaysia yang bakal menyaksikan pertembungan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang yang pada awalnya dijadual berlangsung pada 12 April depan
Badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu dalam kenyataan memaklumkan, tarikh baharu aksi final itu ditetapkan pada 26 April di Stadium Nasional, Bukit Jalil selepas membuat pertimbangan semula dibuat berikutan permohonan rasmi daripada Sri Pahang serta persetujuan JDT.
“Maklum balas yang diterima daripada pasukan finalis itu mendapati, kebanyakan penyokong mengharapkan tarikh perlawanan akhir Piala Malaysia dapat dianjak ke tarikh baharu untuk membolehkan mereka merancang perjalanan ke Stadium Nasional.
“Ini berikutan kekangan penyokong kedua-dua pasukan untuk mendapatkan tiket memandangkan tarikh asal yang masih dalam tempoh awal perayaan Hari Raya Aidilfitri.
“MFL berharap dengan tarikh baharu ini membolehkan urusan penjualan tiket final yang dikendalikan sepenuhnya oleh pasukan finalis dapat disusun dengan lebih baik untuk memastikan kehadiran penyokong JDT dan Sri Pahang FC sekali gus menggamatkan pentas final itu nanti.
Susulan dengan penetapan tarikh baharu, MFL akan melakukan pindaan jadual baki perlawanan Liga Super musim ini yang akan dimaklumkan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette