KUALA LUMPUR – Kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menganggap had dua penggal penuh 10 tahun perjawatan Perdana Menteri disifatkan sebagai membelakangi ketetapan Allah, sekali gus melambangkan betapa sikap Presiden Pas itu menyalahi pendirian Islam sendiri.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, Abdul Hadi nyata gagal memahami prinsip Maqasid Pemerintahan dalam Islam yang menitikberatkan soal keadilan dan keamanahan serta menghalang tindakan luar batasan dan kezaliman.
Katanya, apabila seorang perdana Menteri yang berjawatan tertinggi eksekutif negara tidak diberi had tempoh memegang jawatan, kemungkinan perjawatan itu membawa kepada pengumpulan kuasa yang membawa kepada pemerintahan kuku-besi sehingga tujuan utama pemerintahan terjejas daripada keadilan kepada ketidakadilan, beramanah kepada tidak beramanah dan kebertanggungjawaban kepada pengkhianatan yang boleh berlaku.
“Bukankah Islam mementingkan Amar Makruf dan Nahi Munkar, yang menekankan semulia-mulia jihad itu adalah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim?
“Mengehadkan tempoh 10 tahun perjawatan PM adalah dalam bab mengelak kezaliman sebelum berlaku atas prinsip mengelak lebih baik daripada merawat.
“Salah satu maslahat untuk kebaikan rakyat ialah dengan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri, walaupun tiada nas yang menetapkannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mujahid turut mempersoalkan mengenai Penasihat State Government 4 (SG4), Tun Dr Mahathir Mohamed yang sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai perdana menteri selama 22 tahun hingga pernah digelar sebagai ‘MahaFiraun’ atas dakwaan ciri-ciri kediktatoran berlaku disebabkan tiada had kepada perjawatannya.
“Sepatutnya ibrah besar (pengajaran) yang perlu diambil iktibar sebagai solusi kepada masalah tersebut ialah mengehadkan tempoh PM supaya mimpi ngeri yang sama tidak berulang!
” Ambillah pengajaran wahai yang tajam pengamatannya!,” katanya
Mujahid yang juga bekas menteri agama berkata, wawasan dunia dan akhirat kononnya tidak tercapai dengan mengehadkan tempoh 10 tahun seperti didakwa oleh Abdul Hadi adalah tersasar daripada perbahasan kerana mana-mana pemimpin dalam Islam perlu mencapai maslahat kebahagiaan di dunia dan akhirat dalam pemerintahannya sebagai tanggungjawab kepimpinan.
“Dengan kejelasan ini apakah 10 tahun tidak mencukupi untuk melaksanakan visi dan misi dunia dan akhirat kepada rakyatnya? soalnya.
Beliau turut mendakwa, tersasulnya Abdul Hadi buat sekian kalinya dalam memahami realiti semasa sama ada disebabkan kerana DAP yang menyebutnya atau kerana ingin mempertahankan Penasihat SG4 yang memerintah 22 tahun sebagai perdana menteri sebelum ini atau Presiden Pas itu berpura-pura tidak tahu.
Tambah beliau, keperluan mengehadkan dua penggal perjawatan perdana Menteri bukan sebab DAP yang berkehendakkannya tetapi, disepakati sejak Barisan Alternatif lagi pada 1999, Pakatan Rakyat (2009-2013) yang mana Presiden Pas itu pernah menyertainya.
“Malaysia memerlukan kesegaran kepada politik Islam yang lebih inklusif, semasa dan berorientasikan kearifan lokal.
“Idea-idea yang mengikuti keperluan semasa, suasana yang melingkungi negara demi mencapai sesuatu kemaslahatan yang membangunkan negara adalah ciri-ciri yang melahirkan sebuah organisasi politik Islam yang berdaya saing, dinamik dan melihat masa depan,” katanya. – MalaysiaGazette