PUTRAJAYA – Seorang pengurup wang yang ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi membantu siasatan melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri difahamkan mempunyai peranan dalam membuat pertukaran mata wang asing.
Media melaporkan sumber SPRM berkata, lelaki tersebut membuat pertukaran wang ringgit Malaysia kepada mata wang asing yang dipercayai ditemui dalam safe house disita SPRM baru-baru ini.
Lelaki itu sepatutnya ditahan reman selama dua hari terpaksa dilepaskan atas nasihat doktor oleh SPRM selepas mengadu sakit jantung awal pagi ini sekitar pukul 3 pagi.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mendedahkan, pengurup wang itu ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Perdana Menteri ke-9 itu.
Ketika ini, Ismail Sabri masih lagi sedang memberikan keterangannya sejak pukul 10.30 pagi tadi.
Ismail Sabri memberikan keterangan hampir tujuh jam berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia semasa tempoh perkhidmatan beliau dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Beliau merupakan suspek siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16 kilogram jongkong emas di dalam safe house.
Kes ini sedang disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Baru-baru ini, Azam Baki berkata, beberapa fail baharu dibuka berhubung siasatan terhadap Ismail Sabri susulan maklumat dan hasil risikan terbaharu pihaknya dan terdapat banyak lagi perkara yang perlu diajukan kepada Ahli Parlimen Bera itu. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: