Empat lelaki dari kanan Chow Zhi Peng , Yeap Jun Le ,Liu Yu Ting dan Peng Wei Sung di hadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas tuduhan mengedar dadah

JOHOR BAHRU – Lima lelaki termasuk dua warganegara Taiwan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan mengedar dadah berbahaya awal bulan ini.

Liong Boon Siong, 27; Chow Zhi Peng, 30, dan Yeap Jun Le, 22, serta dua warganegara Taiwan iaitu Peng Wei Sung dan Liu Yu Ting menganguk faham pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Namun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Di hadapan Majistret Nabilah Nizam, Boon Siong dituduh mengedar berbahaya dadah jenis 3,4-methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan anggaran berat 20 kilogram (kg) dan methamphetamine dengan anggaran berat 3.8 kg.

Lelaki itu dituduh melakukan perbuatan itu di Jalan Seroja, Ledang Height, Iskandar Puteri pada pukul 4.15 petang pada 6 Mac lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa telah melakukan suatu kesalahan bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum dengan hukuman mati hendaklah dihukum dengan hukuman sebatan yang tidak kurang daripada 12 sebatan.

Kes pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Latif manakala tertuduh diwakili peguam Hafizatul Shahirah Jamarin.

Sementara itu, di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab, empat lelaki termasuk dua warganegara Taiwan mencapai niat bersama telah didapati mengedar dadah berbahaya disyaki jenis MDMA anggaran isipadu satu liter.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Laman Setia 5/5, Setia Eco Gardens, Gelang Patah kira-kira 12 tengah hari pada 6 Mac lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka secara bersama-sama dituduh melakukan satu kesalahan bawah Seksyen 39b(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kesemua lelaki itu boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum dengan hukuman mati hendaklah dihukum dengan hukuman sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Kes pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman manakala semua tertuduh diwakili peguam Naizatul Zamrina Karizaman.

Mahkamah menetapkan tarikh 19 Jun depan sebagai sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here