Seorang murid tahun satu menangis dipukul dan ditampar bapa rakannya dalam kejadian di sebuah sekolah di bandar raya ini semalam.

JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak di sebuah pusat perlindungan di bandar raya ini didakwa dipukul, ditarik telinganya dari dalam hingga ke luar sekolah sebelum ditampar dua kali hingga kepalanya dia terhantuk di dinding.

Jurucakap pusat perlindungan berkenaan berkata, kejadian yang berlaku terhadap murid tahun satu itu disaksikan pemandu van pusat perlindungan tersebut.

Menurutnya, kejadian itu berlaku pukul 12.50 tengah hari semalam apabila pemandu dari pusat perlindungan mahu mengambil sekumpulan kanak-kanak dari sekolah di Jalan Abdul Rahman Andak di sini.

“Kejadian ini mengakibatkan mangsa dikenali sebagai ‘Amir’  mengalami lebam di kepala serta trauma dan terpaksa menerima rawatan di sebuah hospital awam di bandar raya ini.

“Pihak kami masih menunggu laporan perubatan bagi mengetahui sama ada kanak-kanak berkenaan mengalami pendarahan dalaman di bahagian kepala.

“Apa pun kenakalan murid, biar pihak sekolah yang uruskan, bukan bapa murid yang memiliki fizikal yang besar dan kuat.

“Mangsa ditampar tiga kali sehingga kepalanya terhentak di dinding. Malah lelaki berkenaan juga ugut mahu belasah mangsa sekiranya mengganggu anaknya lagi,” katanya ketika dihubungi.

Dia berkata, pihaknya sudah meminta semua saksi yang melihat mangsa ditampar untuk membuat laporan polis dengan segera.

Katanya, suspek yang juga pernah bersekolah sebelum ini pasti mengetahui suasana di sekolah termasuk prosedur bagi membuat aduan dan bukan bertindak sendiri.

“Bayangkan sekiranya setiap ibu bapa pergi sekolah belasah budak kecil yang ganggu anak mereka, macam mana?

“Boleh ke kita terima kalau anak kita dipukul, mangsa adalah anak yatim dan memiliki dua lagi beradik tinggal di pusat perlindungan ini selepas dihantar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kami di pusat perlindungan ini mengambil pelbagai langkah bagi mendidik penghuni termasuk memastikan proses pembesaran mereka normal kerana sebelum ini mereka pernah mengharungi pelbagai keadaan yang mengakibatkan trauma.

“Sebab dia datang dari rumah kebajikan pelaku mungkin ingat boleh menyerangnya dan tiada orang yang ambil tahu. Saya tidak boleh terima melihat video keadaan mangsa nangis selepas ditampar,” katanya.

Menurutnya, Ramadan sepatutnya mengajar umat Islam lebih toleransi, banyak bersabar dan menunjukkan contoh yang baik kepada anak kita.

“Bukan ajar anak jadi samseng. Mahu lindungi anak kita ada cara bukan mengguna keganasan. Ini bukan kes pertama yang pernah berlaku terhadap penghuni di sini, kami  tidak akan tarik balik aduan seperti sebelum ini kerana kes,” ujarnya.

Pihaknya sudah membuat laporan di Balai Polis Larkin semalam dan sedang mempertimbangkan saman sivil.

“Biar ia menjadi pengajaran buat semua pihak. Jangan buli anak yatim ini, sekiranya kami tidak pertahankan penghuni kami, siapa lagi nak bela?

“Tetapi sekiranya kami mendapati anak kami bersalah, dia tetap akan didenda yang mengikut prosedur operasi standard (SOP) kami termasuk dihantar kaunseling,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan pada petang semalam dan kes masih dalam siasatan.- MalaysiaGazette

Caption gambar: Seorang murid tahun satu menangis dipukul dan ditampar bapa rakannya dalam kejadian di sebuah sekolah di bandar raya ini semalam

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here