Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan lawat dan mengadakan perbincangan dengan pihak berwajib berkaitan penempatan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman, Jalan Masjid India.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa prihatin dengan isu yang mengundang kebimbangan dalam kalangan masyarakat India di negara ini berkaitan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman, Jalan Masjid India yang didirikan atas tanah Kumpulan Jakel.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan, beliau sedia maklum tentang isu tersebut dan sudah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri.

“Saya telah beberapa kali berbincang dengan Perdana Menteri mengenai isu ini. Beliau mengambil serius dan mahu penyelesaiannya dilakukan dengan baik,” katanya selepas mengadakan melawat kuil itu hari ini.

Ramanan juga menafikan sebarang ura-ura kononnya kuil itu akan dirobohkan sebaliknya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang melakukan rundingan bagi memastikan ada penyelesaian terbaik.

“Apa yang pasti, tidak akan berlaku apa-apa perobohan. Ketika ini ada beberapa pilihan dan sedang diteliti bagi memastikan penyelesaian menang-menang dan baik untuk semua pihak.

“Isu ini adalah berkaitan pemilikan tanah, kerana kuil ini kini berada di atas tanah milik swasta yang baharu.

“Oleh itu, ia bukan melibatkan kerajaan secara langsung. Namun, kerajaan dan DBKL berunding untuk semuanya berjalan lancar,” ujarnya.

Terdahulu, Kumpulan Jakel mengingatkan pihak luar agar tidak mencetuskan isu tidak harmoni antara kaum berhubung penempatan semula kuil yang didirikan di atas tanah milik gedung tekstil itu.

Untuk makluman, terdapat cadangan untuk membina masjid oleh pemilik tersebut dan jalan penyelesaian terbaik antara pihak berkaitan sedang berjalan ketika ini.

Ketua Pegawai Kewangan Jakel, Datuk Syed Nasrul Fahmi Syed Muhamad mendedahkan, syarikatnya dan pihak kuil telah mengadakan perbincangan secara baik dan harmoni sejak lapan tahun lalu.

DBKL dalam satu kenyatan hari ini pula memaklumkan telah mengenal pasti lokasi baharu untuk pemindahan rumah ibadat itu bagi memastikan penganut Hindu dapat terus menjalankan aktiviti keagamaan mereka dengan selesa dan harmoni.

Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak berhampiran Jakel Mall berhampiran Jalan Masjid India,dibina pada akhir abad ke-19 dan kini wujud di antara bangunan pencakar langit di kawasan tersebut. – MalaysiaGazette

Jangan buat naratif ‘roboh kuil, bina masjid’ – Jakel

DBKL kenal pasti lokasi baharu pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here