Armizan (kiri) mendengar penerangan ketika mengadakan Lawatan Kerja Sempena Penguatkuasaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Minyak Enjin bagi Kenderaan Motor) 2024 di Petronas Melaka Lube Blending Plant, Kawasan Perindustrian Tangga Batu, Melaka hari ini.

MELAKA – Berkuatkuasa 7 April ini, semua produk minyak enjin kenderaan dari dalam negara mahupun import diwajibkan mempunyai perakuan dan penandaan label yang diperakukan Institut Piawaian dan Penyelidikan (SIRIM).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, peraturan baru itu bertujuan melindungi pengguna daripada menjadi mangsa penipuan minyak enjin tiruan di pasaran yang semakin meningkat.

“Perintah baharu ini dapat membanteras penjualan minyak tiruan di pasaran yang boleh menyebabkan berlaku kerosakan kepada enjin kenderaan sehingga akhirnya membawa risiko kemalangan jalan raya.

“Jadi dengan adanya pelekat label (SIRIM) ini, pengguna akan dapat mengenal pasti manakah produk yang dijamin tulen,” katanya.

Armizan Mohd Ali

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan Lawatan Kerja Sempena Penguatkuasaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Minyak Enjin bagi Kenderaan Motor) 2024 di Petronas Melaka Lube Blending Plant, Kawasan Perindustrian Tangga Batu di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, perakuan dan penandaan label SIRIM itu telah diwartakan pada 11 Oktober tahun lalu dan pihaknya memberi tempoh selama enam bulan kepada pihak industri untuk membuat persediaan sebelum April ini.

“Langkah mewajibkan perakuan dan penandaan SIRIM ini juga ekoran kadar peningkatan aduan pengguna terhadap minyak enjin tiruan setiap tahun.

“Sejak Januari 2019 hingga Februari lalu, kementerian menerima 240 aduan berkaitan isu berkenaan dan sebanyak 36 tindakan telah diambil dengan nilai rampasan berjumlah RM1.15 juta,” katanya.

Tegasnya, KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat pengimport, pengedar, penjual sekiranya didapati memasarkan produk yang tidak mendapat perakuan dan label pematuhan yang sah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here