PASIR GUDANG – Seorang warga emas ditahan bersama sejumlah tembakau kunyah tidak bercukai bernilai RM146,527 selepas menyerbu di sebuah premis di Jalan Lembah 18, Bandar Baru Seri Alam di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, pasukan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menyerbu premis itu pukul 8.55 pagi hingga 4 petang.
“Serbuan itu menemui 1,238 paket tembakau kunyah. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM206,527.50, termasuk sebuah lori yang digunakan untuk mengangkut dan mengedar barangan tersebut.
“Hasil pemeriksaan tersebut didapati premis ini disyaki menyimpan dan mengedar barangan tembakau kunyah tidak bercukai,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pihak polis katanya, menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 64 tahun kerana terlibat dalam kegiatan menyimpan dan mengedar tembakau ini.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai mengedarkan tembakau kunyah ini kepada pekerja asing, khususnya dari Bangladesh dan Nepal di sekitar Johor,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.- MalaysiaGazette