Antara dua dari lapan individu warganegara Indonesia ditahan disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran di Ampang, Rabu lalu.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan lapan individu termasuk enam lelaki dan dua wanita warganegara Indonesia kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran di Ampang, Selangor, Rabu lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam operasi khas jam 4.52 petang itu, pihaknya menahan sebuah kenderaan Perodua Aruz yang digunakan oleh seorang pengangkut untuk membawa imigran larangan.

“Hasil pemeriksaan mendapati pengangkut merupakan seorang wanita dan dua lelaki warganegara Indonesia yang baru tiba di negara ini dan berada di dalam kenderaan tersebut.

“Turut diperiksa, empat lelaki dan seorang wanita warganegara Indonesia turut berada di kawasan parkir tersebut.

“Mereka dipercayai menaiki kenderaan sama dan mengaku untuk dihantar pulang ke negara asal melalui pintu tidak diwartakan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melakukan pemeriksaan ke atas beberapa premis yang dijadikan sebagai rumah penampungan atau transit bagi imigran larangan di sekitar Ampang, Selangor

Zakaria berkata, pihaknya menjumpai seorang wanita tidak berdaya, disyaki mangsa eksploitasi yang diserahkan oleh majikan kepada ejen haram untuk dihantar pulang ke negara asal.

“Ia hasil pemeriksaan ke atas beberapa premis yang dijadikan sebagai rumah penampungan atau transit bagi imigran larangan di sekitar Ampang.

“Pasukan operasi turut menjumpai beberapa naskhah pasport milik orang lain di bilik ejen haram atau pengangkut,” katanya.

Menurut Zakaria, modus operandi sindiket dengan menawarkan perkhidmatan membawa masuk dan menghantar imigran larangan pulang dengan bayaran mencecah sebanyak RM4,500 seorang melalui pintu tidak diwartakan.

“Ejen haram atau pengangkut yang menguruskannya juga merupakan warganegara Indonesia dan kebanyakan imigran diambil dari sekitar Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.

Katanya, pihaknya mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang (buruh paksa) dalam kalangan golongan rentan, berpandukan Garis Panduan Petunjuk Kebangsaan Pemerdagangan Manusia (NGHTI) 2.0.

“JIM telah memulakan siasatan bagi melihat kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670),” katanya.

Zakarian berkata, JIM memandang serius aktiviti jenayah itu dan akan meneruskan operasi penguatkuasaan serta mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak didapati melakukan kesalahan pemerdagangan orang di bawah ATIPSOM 2007 (AKTA 670).

“Sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau dengan penjara selama tempoh tidak kurang dari lima tahun dan boleh dihukum dengan sebatan bagi kesalahan pemerdagangan orang lebih berat,” katanya.

Katanya, JIM mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat sekiranya mempunyai maklumat tentang jenayah pemerdagangan orang bagi memastikan tindakan undang-undang boleh diambil.

“Ia selaras usaha kerajaan membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

“Sebarang aduan atau maklumat boleh disalurkan ke Bahagian Pencegahan ATIPSOM & AMLA melalui talian 03-8880 1471 atau e-mel: urusetia_p@imi.gov.my,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here