KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri.
Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, pemberian ini bukan hanya meringankan beban kos persiapan menjelang Syawal tidak lama lagi, malah menyuntik semangat penjawat awam untuk terus berbakti dengan lebih cemerlang dan berintegriti.
Pemberian BKK ini membuktikan kerajaan mengiktiraf peranan penting penjawat awam sebagai jentera pelaksana dasar negara.
“Ia juga mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap prestasi serta sumbangan cemerlang penjawat awam dalam memastikan kestabilan pentadbiran dan kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi kenyataan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah yang akan dibayar mulai minggu depan.
Selain itu, sebanyak RM250 diberikan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen.
Mengulas lanjut, Adnan menyeru penjawat awam supaya bijak menguruskan kewangan masing-masing.
CUEPACS juga katanya, menggalakkan penjawat awam untuk turut menyokong peniaga-peniaga kecil di bazar Ramadan dan pasar tempatan sebagai usaha membantu merancakkan ekonomi rakyat menjelang sambutan Aidilfitri.
“Sekali lagi, CUEPACS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri atas perhatian dan penghargaan yang diberikan kepada penjawat awam serta pesara,” katanya lagi.-MalaysiaGazette