Mohideen Abdul Kader

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa tindakan segera bagi memulihara hutan dalam negara yang kini didakwa menghadapi ancaman besar akibat pembalakan, perlombongan serta pembangunan ladang komersial.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, penebangan hutan yang semakin pesat menyebabkan kehilangan biodiversiti dan kerosakan ekosistem yang memberi impak kepada kehidupan manusia.

“Hutan kita adalah khazanah alam yang penting, tetapi pembalakan dan pembukaan tanah secara berleluasa telah menyebabkan kerosakan besar termasuk mengancam spesies hidupan liar.

“Malah, antara 2001 hingga 2021, negara kehilangan 17 peratus daripada litupan hutan hujannya, dengan kawasan hutan kini kurang daripada 47 peratus dan kawasan hutan terbesar terjejas adalah di Sarawak, yang kini menjadi pusat pembalakan tidak terkawal.

“Kesan daripada penebangan hutan turut memberi impak besar terhadap perubahan iklim, hakisan tanah dan pencemaran sumber air,” katanya dalam kenyataan media sempena Hari Hutan Antarabangsa yang disambut pada 21 Mac setiap tahun.

Justeru CAP menggesa pihak berkuasa untuk mempercepatkan usaha pemulihan hutan, mewujudkan koridor hutan untuk memastikan kelangsungan hidup hidupan liar, dan mengambil tindakan tegas terhadap pembalakan haram.

“Kita perlu bertindak segera untuk memastikan warisan hutan kita kekal terpelihara bagi generasi akan datang dan sebagai langkah jangka panjang.

“Perlu kerjasama antara kerajaan, masyarakat dan sektor swasta untuk menguatkuasakan undang-undang perlindungan hutan serta meningkatkan kesedaran awam tentang pentingnya menjaga kelestarian hutan.

“Kita juga perlu ingat bahawa hutan bukan hanya berperanan sebagai penyimpan karbon yang penting dalam memerangi perubahan iklim tetapi juga sebagai sumber kehidupan bagi masyarakat yang bergantung kepada hutan untuk kelangsungan hidup mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here