KUALA LUMPUR- Orang ramai diseru menyertai himpunan solidariti untuk rakyat Palestin di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat pada Jumaat, 28 Mac ini bagi menyatakan bantahan atas serangan udara Israel di Semenanjung Gaza sejak Selasa lepas.
Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu berkata mereka yang ingin menyertai himpunan berkenaan boleh berkumpul di Masjid Tabung Haji selepas solat Jumaat sebelum bergerak ke Kedutaan Amerika Syarikat di sini.
“Cukuplah jadi penonton! Pada 28/3/2025 ini, hari Jumaat, mari kita tunjukkan solidariti kita. Berkumpul di Masjid Tabung Haji selepas solat Jumaat dan bergerak ke Kedutaan Amerika.
“Biar dunia tahu, rakyat Malaysia tidak duduk diam!” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Tambah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu, himpunan tersebut bukan sekadar untuk mengecam Zionis Israel tetapi juga penzahiran kekecewaan dan ramar terhadap negara-negara Arab yang terus berpeluk tubuh melibat rakyat Palestin ditindas.
“Sampai bila negara Arab nak jadi pak turut kepada Amerika? Sampai bila mereka nak takut pada bayang-bayang sendiri?
“Jom tunjukkan kita ada maruah!” ujarnya lagi.
Untuk rekod, tentera Israel melancarkan serangan udara mengejut ke atas Semenanjung Gaza Selasa lalu, menghancurkan gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tahanan yang berkuat kuasa pada Januari.
Hampir 50,000 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakan wanita dan kanak-kanak manakala lebih 112,000 yang lain cedera dalam kempen ketenteraan Israel di Gaza sejak Oktober 2023. -MalaysiaGazette