JOHOR BAHRU – Seorang pengurus ladang kelapa sawit mengalami kerugian RM1.9 juta selepas gelap mata dan terpedaya pelaburan mata wang cyrpto tidak wujud yang menjanjikan keuntungan 20 hingga 40 peratus.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berusia 69 tahun semalam, mendakwa ditipu dalam urusan pelaburan mata wang crypto tidak wujud dan kerugian RM 1.9 juta.
“Pelaburan tersebut ditawarkan oleh individu yang tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp. Mangsa diarahkan memuat turun aplikasi pelaburan sebelum memulakan perdagangan Maya wang crypto.
“Berminat dengan tawaran sehingga 20 hingga 40 peratus daripada jumlah yang dilaburkan, mangsa telah mengikut arahan suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa kemudian dimasukkan dalam satu kumpulan WhatsApp untuk arahan selanjutnya.
Antara Disember 2024 hingga Februari lalu katanya, mangsa membuat bayaran berjumlah RM1.9 juta ke dalam beberapa akaun bank yang diarahkan suspek.
Menurutnya, selepas bayaran dibuat, mangsa melihat status pelaburannya dalam aplikasi didaftarkan dan telah mencatatkan keuntungan sebanyak AS$22.2 juta.
“Mangsa mahu mengeluarkan wang tersebut tetapi masih diminta membuat bayaran. Mangsa percaya telah ditipu sebelum membuat laporan polis dengan kerugian RM1.9 juta,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Kumar berkata, pihak polis menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya sebarang tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan mudah, cepat dan tinggi.
“Orang ramai juga boleh mendapat maklumat berkaitan penipuan dengan mengikuti laman sosial Jabatan Siasatan Jenayah Kormersil (JSJK) seperti Facebook, Instagram dan TikTok bagi mengetahui modus operandi terbaharu jenayah kormersil.
“Ini termasuk membuat semakan dalam aplikasi Semak Mule yang disediakan secara dalam talian bagi menyemak status akaun bank dan nombor telefon suspek sebelum meneruskan transaksi pembayaran,” ujarnya. – MalaysiaGazette