KUALA LUMPUR – lnflasi Malaysia meningkat dengan kadar perlahan 1.5 peratus pada Februari 2025 dengan mata indeks mencatatkan 134.1 berbanding 132.1 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, peningkatan inflasi pada Februari 2025 telah didorong oleh peningkatan lebih perlahan bagi kumpulan utama perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (2.3%); rekreasi, sukan & kebudayaan (1.5%); kesihatan (1.0%); pengangkutan (0.7%) dan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (0.3%).

Namun begitu, kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial & pelbagai barangan & perkhidmatan; pendidikan dan insurans & perkhidmatan kewangan masing-masing merekodkan peningkatan lebih tinggi berbanding bulan sebelumnya iaitu 3.7 peratus (Januari 2025: 3.3%), 1.9 peratus (Januari 2025: 1.6%) dan 1.5 peratus (Januari 2025: 0.6%).

lnflasi maklumat & komunikasi menurun kepada negatif 5.3 peratus pada Februari 2025, kadar yang sama direkodkan pada Januari 2025 disumbangkan oleh inflasi subkumpulan utama perkhidmatan maklumat & komunikasi pada negatif 5.9 peratus.

Pakaian dan kasut kekal berada pada jajaran negatif iaitu negatif 0.2 peratus (Januari 2025: -0.3%).

Manakala, inflasi restoran & perkhidmatan penginapan (3.5%), makanan & minuman (2.5%) dan minuman alkohol & tembakau (0.9%) mencatatkan peningkatan yang sama seperti bulan sebelumnya.

Kebanyakan negeri merekodkan inflasi di bawah paras inflasi nasional 1.5 peratus.

Waiau bagaimanapun, inflasi bagi empat negeri meningkat melebihi paras inflasi nasional iaitu Johor (2.1%), Sarawak (1.9%), Selangor (1.9%), dan Melaka (1.6%).

Kesemua negeri mencatatkan peningkatan dalam inflasi makanan & minuman.

Kadar tertinggi dicatatkan oleh Selangor, 3.5 peratus, diikuti oleh Negeri Sembilan (3.1%), Johor (2.9%), Terengganu (2.9%), Putrajaya (2.9%), Melaka (2.8%) dan Sabah (2.6%).

Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi makanan & minuman nasional iaitu 2.5 peratus pada Februari 2025.

lnflasi keseluruhan secara bulanan pada Februari 2025 meningkat 0.4 peratus berbanding Januari 2025. dipacu terutamanya oleh kumpulan insurans & perkhidmatan kewangan (0.8%) diikuti oleh penjagaan diri, perlindungan sosial & pelbagai barangan & perkhidmatan (0.7%); perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (0.7%); restoran & perkhidmatan penginapan (0.6%) dan pendidikan (0.5%).

Sementara itu, inflasi teras meningkat lebih tinggi pada 1.9 peratus berbanding bulan sebelumnya (1.8%) didorong oleh penjagaan diri, perlindungan sosial & pelbagai barangan & perkhidmatan (3.7%); pengangkutan (2.6%); perumahan, air, elektrik, gas & bahan api Lain (2.3%); pendidikan (1.9%) dan insurans & perkhidmatan kewangan (1.5%).

Bagi perbandingan inflasi dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia (1.5%) lebih rendah berbanding inflasi di Vietnam (2.9%) dan Filipina (2.1%). Manakala, kadar tersebut lebih tinggi berbanding Thailand (1.1%), Indonesia (-0.1%) dan China (-0.7%). – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here