Kastam merampas rokok tidak bercukai serta papan plywood bernilai RM6.2 juta di ruang pemeriksaan kastam, PTP di Gelang Patah di Iskandar Puteri, pada 5 Mac lalu

ISKANDAR PUTERI – Satu cubaan menyeludup rokok tidak bercukai serta papan plywood bernilai RM6.2 juta berjaya dipatahkan di ruang pemeriksaan kastam, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Gelang Patah, di sini, pada 5 Mac lalu.

Bahagian Penguatkuasaan Stesen Gelang Patah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah kontena berukuran 12 meter.

“Hasil pemeriksaan menemukan 6,700,000 batang rokok putih pelbagai jenama dan sebanyak 444 papan plywood jenama The Camel.

“Siasatan mendapati dagangan berkenaan hanya diikrarkan menerusi Borang Kastam 6. Papan plywood berkenaan memerlukan Permit Import yang dikeluarkan oleh Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

“Dalam kes ini kedua-dua dagangan terbabit tidak mempunyai permit import,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, anggaran nilai plywood yang disita adalah RM22,200 dan anggaran cukai atau duti adalah RM7,700 manakala anggaran nilai rokok putih tidak bercukai adalah RM1.6 juta dan cukai atau duti adalah RM4.5 juta.

Menurutnya, jumlah keseluruhan nilai dan duti terbabit dalam sitaan berkenaan adalah RM6.2 juta.

Kes tersebut katanya, masih dalam siasatan dan modus operandi sindiket berkenaan adalah membuat pengikraran yang tidak benar untuk menyeludup barang larangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu membuat perakuan tidak benar di mana jika disabit kesalahan pesalah boleh bagi kesalahan pertama denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut,” katanya.

Tambahnya, orang ramai boleh menyalurkan maklumat di talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat.

“Kami memberi jaminan bahawa identiti individu yang menyalurkan maklumat dilindungi,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here