KLUANG – Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kelonggaran kepada pelajar yang menjadi mangsa banjir untuk hadir ke sekolah tanpa memakai pakaian seragam.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kebenaran itu diberikan bagi memastikan kehadiran pelajar di sekolah, sekali gus tidak membebankan ibu bapa.
“Sewaktu di pusat pemindahan sementara (PPS) di sini, ada anak-anak yang tidak mengenakan pakaian seragam. Ini kerana mereka tidak sempat bawa pakaian seragam ke PPS.
“Selain itu, hujan berterusan juga boleh menyebabkan pakaian seragam sekolah, tidak dapat disediakan (basah). Maka kelonggaran juga diberikan untuk ke sekolah tanpa mengenakan pakaian seragam tetapi perlu sopan dan bersesuaian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kencana, Simpang Renggam di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pendidikan negeri, Aznan Tamin serta Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan.
Fadhliana berkata, KPM telah mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) memantau keadaan guru-guru yang mengajar dan tinggal di kawasan dilanda banjir.
“Semalam, kami mendapat aduan mengenai guru-guru yang terkandas di sekolah susulan banjir yang berlaku. KPM telah mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan guru-guru terjaga,” katanya.
Sebelum itu, seramai 39 mangsa terdiri daripada guru termasuk murid perempuan Sekolah Kebangsaan (SK) Tampoi Utama, di sini, terpaksa dipindahkan ke PPS pada awal pagi tadi selepas terkandas lebih 10 jam akibat banjir.
Difahamkan, kesemua mangsa termasuk seorang guru wanita yang mengandung tidak dapat keluar dari kawasan sekolah selepas sesi persekolahan tamat pada pukul 12.30 tengah hari kerana kawasan sekolah dinaiki air.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Timbalan Penguasa Bomba Mohd Suhaimi Abdul Jamal berkata, sembilan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah bot digunakan dalam operasi menyelamat yang berakhir pada pukul 3.17 pagi.- MalaysiaGazette