Pengerusi Kumpulan Pelaburan MARA, Datuk Mohamad Razali Mohamad Rahim (tiga dari kiri) pada majlis berbuka puasa dan penyerahan zakat kepada Pusat Jagaan Rumah Kasih Nurul Hasanah di Kuala Lumpur, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Kumpulan Pelaburan MARA akan melipatgandakan usaha untuk menarik serta membantu lebih banyak syarikat Bumiputera bagi disenaraikan di Bursa Malaysia.

Pengerusi Kumpulan Pelaburan MARA, Datuk Mohamad Razali Mohamad Rahim berkata, ketika ini, penyertaan syarikat Bumiputera di Bursa Malaysia masih lagi rendah sedangkan banyak syarikat Bumiputera berpotensi untuk disenaraikan.

Jelasnya, faktor itu mungkin disebabkan beberapa kekangan dalam syarikat Bumiputera antaranya faktor kewangan selain kurang pengetahuan dan bimbingan untuk mereka menembusi Bursa Malaysia.

“Jadi untuk tahun ini serta tahun-tahun hadapan, kita akan meningkatkan fokus untuk melonjakkan lagi perniagaan Bumiputera khususnya dalam kalangan usahawan B40 dan M40 supaya sehingga mereka mampu disenaraikan di Bursa Malaysia.

“Sebab ketika ini, tidak banyak syarikat Bumiputera yang disenaraikan, sedangkan banyak syarikat yang berpotensi tetapi mereka tidak mengambil peluang ini untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka,” katanya.

KANAK-KANAK Pusat Jagaan Rumah Kasih Nurul Hasanah, Ampang, Selangor diraikan menerusi pembelian kelengkapan Aidilfitri oleh kakitangan Kumpulan Pelaburan MARA di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa dan penyerahan zakat perniagaan berjumlah RM25,000 kepada Pusat Jagaan Rumah Kasih Nurul Hasanah, Ampang, Selangor di sini, malam tadi.

Sumbangan itu membabitkan pemberian duit raya dan pembelian kelengkapan menyambut Aidilfitri penghuni pusat jagaan tersebut yang berusia antara empat hingga 17 tahun berjumlah RM20,000, manakala bakinya iaitu sebanyak RM5,000 diserahkan kepada pihak pengurusan bagi tujuan penyelenggaraan dan keperluan pusat jagaan berkenaan.

Sementara itu, Mohamad Razali berkata, bagi mencapai objektif meningkatkan penyertaan syarikat Bumiputera dalam Bursa Malaysia tersebut, pihaknya akan turun ke lapangan bagi mengenal pasti syarikat-syarikat yang dilihat berpotensi besar untuk disenaraikan.

Ujarnya, dengan kepakaran dan pengalaman yang dimiliki Kumpulan Pelaburan MARA, syarikat terbabit akan dibantu termasuk dari segi kewangan bagi memastikan mereka berjaya menembusi Bursa Malaysia.

Ditanya sasaran syarikat Bumiputera untuk dibantu disenaraikan sepanjang tahun ini, Mohamad Razali berkata, secara dasarnya beliau berharap seberapa banyak mungkin syarikat mahu dibantu, namun jumlah antara 10 hingga 20 syarikat dillihat sasaran yang realistik.

“Kita faham untuk disenaraikan di Bursa Malaysia ini bukan sesuatu yang mudah dan kosnya juga bukan murah selain memerlukan keberanian yang tinggi.

“Sebab itu kita akan tolong usahawan Bumiputera ini dengan pakej seperti kewangan dan kepakaran yang kita ada supaya lebih banyak syarikat Melayu dan Bumiputera ini dapat dipromosikan ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Media pada Mac tahun lepas melaporkan kenyataan Pengerusi Bursa Malaysia Bhd, Tan Sri Abdul Wahid Omar yang mana daripada 97 syarikat tersenarai di Bursa Malaysia dalam tempoh tiga tahun lalu, hanya satu syarikat merupakan milik Bumiputera.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here