KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggesa agar hukuman lebih berat dikenakan terhadap seorang lelaki berusia 56 tahun yang didapati bersalah atas kesalahan mengeksploitasi kanak-kanak.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, denda yang dikenakan terhadap pesalah itu sebanyak RM6,000 selepas mengaku salah di mahkamah tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan.
“Saya berharap pihak berkaitan dapat mengemukakan rayuan terhadap hukuman ini. Sebagai bapa tiri, dia seharusnya menjadi pelindung kepada anak tirinya, bukan bertindak sebaliknya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menjelaskan, kesalahan itu tertakluk di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya sekali.
“Saya percaya ramai yang merasakan bahawa hukuman ini terlalu ringan. Kita tidak boleh bertolak ansur dengan sebarang bentuk eksploitasi terhadap kanak-kanak.
“Hukuman yang lebih berat bukan sahaja memberi keadilan kepada mangsa, tetapi juga menjadi pengajaran kepada masyarakat bahawa kesalahan seperti ini tidak boleh dipandang ringan,” ujarnya.
Nancy turut menyeru agar masyarakat lebih peka dan berani melaporkan sebarang bentuk eksploitasi kanak-kanak supaya tindakan tegas dapat diambil dan kanak-kanak mendapat perlindungan sewajarnya. – MalaysiaGazette