Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski. Foto Facebook FAM.

JOHOR BAHRU – Pemilihan pemain yang akan ditampilkan Harimau Malaya menjelang aksi pusingan ketiga Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadim Sultan Ibrahim dekat sini pada Selasa ini masih belum diputuskan.

Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski berkata, tiada keputusan lagi untuk mengugurkan mana-mana pemain setakat ini dan pemilihan sedang dijalankan.

“Pemilihan ini bergantung kepada prestasi pemain dan apa yang boleh mereka berikan dalam membentuk pasukan mengikut acuan yang dimahukan.

“Kita akan memastikan pemain yang dipilih nanti benar-benar layak bagi menterjemahkan apa yang dimahukan pada perlawanan menentang Nepal nanti.

“Setakat ini, saya masih belum membuat keputusan mengenai perkara ini, antara kriteria pemilihan adalah kualiti yang ada pada pemain dan apa yang mereka boelleh berikan kepada pasukan.

“Saya mahu perlawanan menentang Nepal nanti menjadi penanda aras pasukan yang diinginkan. Walaupun kami tidak sempurna, kami akan turun dengan penuh semangat dan menyuntik kegembiraan buat penyokong,” ujarnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pengendali kelahiran Australia itu tidak berhasrat untuk menghantar pulang pemain yang digugurkan sebaliknya akan terus bersama-sama pasukan.

Katanya, walaupun ada pemain yang tidak dipilih, Cklamovski tetap mahu mereka tetap merasakan bahawa mereka sebahagian daripada pasukan.

“Kami adalah satu pasukan, satu keluarga, satu negara dan kami perlukan sokongan semua. Saya tidak mahu mereka dipinggirkan, itu falsafah saya,” ujarnya.

Pengendali berusia 46 tahun itu berkata, beliau masih menaruh harapan untuk menggunakan khidmat pemain tengah, Natxo Insa pada aksi pusingan ketiga Piala Asia 2027 ini.

Cklamovski memberitahu, buat masa ini, kuda tua Johor Darul Ta’zim (JDT) itu masih belum berlatih bersama-sama kem skuad kebangsaan dan berlatih secara berasingan.

Katanya, pemain berusia 39 tahun itu dalam proses pemulihan secara individu dan pihaknya akan membuat keputusan kelak sama ada boleh menyertai latihan pasukan.
“Buat masa ini, dia sedang menjalani pemulihan secara bersendirian untuk memastikan fizikalnya dalam keadaan baik, ini kerana dia melalui jadual padat bersama JDT.

“Jika dia boleh berlatih bersama yang lain, itu adalah perkara yang baik kerana dia boleh menjadi sebahagian daripada skuad dan berada dalam pertimbangan untuk pemilihan,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here