KOTA TINGGI – Remaja lelaki yang maut dalam kemalangan di Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi malam tadi, sudah membeli kelengkapan menyambut Aidilfitri termasuk baju Melayu warna merah hati.
Menurut bapa tiri mangsa, Zulkeply Ayob, 40, warna berkenaan adalah warna tema keluarganya tahun ini namun terkilan kerana Muhammad Aiman Amirul Rashid, 19, tidak sempat memakainya.
Katanya, arwah sebelum ini ada mengajaknya membeli baju bersama-sama namun dia tidak berkesempatan sebelum arwah pergi ke bazar bersama rakannya.
“Arwah adalah seorang anak yang periang dan ceria serta mendengar kata. Dia juga sangat rapat dengan dua adik tirinya bahkan dia juga telah berjanji kepada adiknya mahu betulkan basikal selepas raya namun tidak kesampaian.
“Kali terakhir berjumpanya dia tidak ada menunjukkan sebarang perubahan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman dilaporkan berkata, kemalangan pada 8.40 malam itu berlaku ketika mangsa menunggang motosikal dari arah Sungai Rengit menghala ke arah Kota Tinggi.
Difahamkan mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Bukit Pelali menuju rumahnya di Felda Air Tawar 5.
Setibanya di lokasi kemalangan, motosikal remaja tersebut dipercayai hilang kawalan dan terbabas melanggar penghadang jalan dan disahkan maut di tempat kejadian.
Bercerita lanjut, Zulkeply berkata, dia dimaklumkan kejadian menimpa anaknya itu pada pukul 9 malam selepas diberitahu isterinya.
Dia kemudian bergegas ke lokasi kejadian bersama-sama isteri dan mendapati anak bongsu daripada empat beradik itu sudah tidak bernyawa.
Menurutnya, lebih menyedihkan semalam adalah hari lahir arwah dan dia antara yang sempat memberikan ucapan melalui aplikasi WhatsApp pada tengah hari.
“Saya sudah anggap arwah macam anak saya sendiri kerana sudah menjaganya sejak usia enam tahun. Saya sempat ucap selamat hari lahir tengah hari semalam kepada dia masa itu dia jawab ok pa.
“Tidak sangka pula malam isteri beritahu dia maut dalam kemalangan. Saya memang selalu pesan kepada dia agar berhati-hati bawa motosikal tambahan pula sekarang musim hujan,” katanya.- MalaysiaGazette